fbpx
RAMAI golongan muda terperangkap dengan masalah hutang sehingga bankrap. – Gambar hiasan

Pinjaman peribadi punca orang muda bankrap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DISEBABKAN hutang RM150,000, seorang pemuda bujang berusia 28 tahun hampir bankrap ataupun muflis.

Namun, pemuda itu bernasib baik apabila bapanya membantu dia keluar daripada masalah tersebut.

Selepas diselamatkan, pemuda tersebut sekali lagi terjerat dengan masalah hutang. Disebabkan itu, bapanya telah meminta pendapat kumpulan ‘Muflis Bankrup’ di dalam Facebook sama ada dia perlu menyelamatkan anaknya sekali lagi.

“Sebagai seorang bapa, anak saya hampir bankrap dengan hutang RM150,000 dan saya selamatkan sebab dia anak tunggal saya.

“Sekarang terjadi lagi dengan jumlah RM85,000, dia hampir bankrap sebab pendapatannya cuma RM3,000 sebulan,” tulis bapa pemuda tersebut.

Jumlah itu melibatkan hutang kad kredit sebanyak RM15,000 dan pinjaman peribadi, RM70,000.

Di dalam kumpulan sama, seorang kakitangan awam berusia awal 30-an meminta pendapat, sama ada dia perlu menyerah diri untuk diisytihar bankrap kerana berhadapan dengan hutang yang tinggi.

“Pendapatan kasar saya sekitar RM3,100 sebulan dan saya mempunyai dua pinjaman peribadi. Saya berhadapan dengan beban kewangan sehingga pendapatan menjadi negatif pada setiap bulan,” jelasnya.

Malah, pada Sabtu lalu, Kosmo! turut melaporkan bahawa pinjaman peribadi mencatatkan jumlah paling tinggi dalam kes kebankrapan melibatkan rakyat negara ini dari tahun 2020 hingga September lalu iaitu sebanyak 14,800 kes. Individu muflis atau bankrap merujuk kepada seseorang penghutang yang gagal menjelaskan hutang kepada pemiutang dengan nilai had minimum RM100,000 dan ke atas.

Mengulas mengenai isu tersebut, Pengasas Financial Faiz, Faiz Azmi berkata, isu kebankrapan dalam kalangan anak muda semakin membimbangkan terutama apabila melihat statistik terkini daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.

Menurutnya, antara faktor utama berlakunya kebankrapan adalah disebabkan pinjaman peribadi yang menjadi punca terbesar serta menyumbang kepada 49.3 peratus kes, diikuti pinjaman perniagaan (18.72 peratus kes) dan sewa beli kenderaan (9.3 peratus kes).

“Golongan muda merupakan kelompok yang sangat berkehendak untuk mencuba perkara baharu dan mengimpikan hasil pulangan pantas.

“Pada masa sama, mereka tidak mempunyai banyak pengalaman dan ilmu tentang pengurusan kewangan.

“Kesannya, mereka tidak dapat membandingkan antara keperluan dan kehendak sehingga melangkaui batas perbelanjaan harian,” jelasnya.

Tambahnya, pengaruh rakan sebaya juga menjadi asbab kejatuhan anak muda dalam wadah kebankrapan sehingga boleh menggelapkan masa depan mereka.

Justeru itu, Faiz menasihati masyarakat terutama anak muda supaya memotong segala ‘subscription’ berbayar yang tidak perlu dan mengalihkannya kepada simpanan kecemasan.

Contohnya seperti langganan permainan video berlebihan, langganan penstriman berganda dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, anak muda perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya enam bulan gaji bagi membuat persediaan tabung kecemasan yang mampan.

“Selain itu, jauhi sikap Fear of Missing Out ataupun FOMO dengan berusaha untuk keluar daripada kelompok yang mempunyai mentaliti ‘biar menyesal beli daripada menyesal tak beli’. Contoh, ada jualan murah akhir tahun di kebanyakan platform jualan sama ada digital atau kedai.

RAMAI orang muda di negara ini gemar mengambil pinjaman peribadi yang akhirnya memerangkap mereka. – Gambar hiasan

“Ada sesetengah individu yang terlampau rakus berbelanja setiap barangan yang dikehendaki dengan alasan potongan harga sehingga menyebabkan aliran tunai menjadi defisit,” katanya.

Di samping itu, anak muda juga perlu menjauhi mentaliti You Only Live Once atau YOLO kerana ia boleh merencatkan perancangan jangka panjang.

Terang Faiz, dia pernah terbaca satu isu berkaitan individu yang mempunyai pemikiran, ‘kita hidup hanya sekali dan kita mesti cuba semua perkara’.

“Pernyataan tersebut benar, yakni kita hidup cuma sekali, tetapi yang lebih tepat adalah kita juga hidup setiap hari.

“Maksudnya, setiap hari kita yang akan kawal aliran tunai dan membuat keputusan ke manakah duit kita akan disalurkan.

“Contohnya, ada golongan yang menyatakan bahawa majlis perkahwinan hanya berlaku sekali seumur hidup sehingga mereka sanggup membuat pinjaman peribadi untuk berkahwin,” ujarnya.

Terangnya, dia mengutuk keras tindakan tidak berilmu seperti itu yang hanya memandang keseronokan sementara dan ingin menutup mulut saudara-mara yang mengimpikan majlis perkahwinan gah tanpa melihat implikasi jangka panjang.

Kesudahannya, golongan tersebut akan berhempas-pulas mencari sumber kewangan demi menutup hutang pinjaman peribadi tersebut.
Rancanglah literasi kewangan sebaik-baiknya dan jangan gopoh dalam mengikut trend semasa.

Sementara itu, Felo Penyelidik Pasca Siswazah di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Dr. Mohd .Khairi Ismail berkata, menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, kaum Melayu merupakan penyumbang utama kepada kadar muflis tertinggi di Malaysia dengan 15,586 kes atau 57.92 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan antara tahun 2020 hingga Mac tahun ini.

Sementara, kaum Cina mencatatkan 6,917 kes, iaitu 25.71 peratus, manakala kaum India menyumbang 2,324 kes atau 8.64 peratus.

“Data ini menunjukkan bahawa kaum Melayu mempunyai kadar kebankrapan tertinggi, diikuti oleh kaum Cina dan India sepanjang tempoh tersebut.

“Situasi ini amat membimbangkan dan faktor seperti celik kewangan yang rendah, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu telah dikenal pasti sebagai pemacu utama salah urus kewangan, pengumpulan hutang, dan akhirnya muflis,” katanya.

Tambahnya, kekurangan pengetahuan kewangan juga menjejaskan keupayaan individu untuk membuat keputusan mengenai simpanan, belanjawan dan pelaburan.

Hakikatnya, mereka daripada golongan berpendapatan rendah sukar memahami implikasi jangka panjang hutang. Ini termasuk kadar faedah tinggi kad kredit, pinjaman peribadi dan pinjaman hari gaji.

Mohd. Khairi menjelaskan, kekurangan pengetahuan tentang cara faedah terakru dan cabaran pengkompaunan hutang sering menyebabkan individu mengambil lebih banyak hutang daripada kemampuan.

“Sebagai contoh, ramai yang mengambil beberapa pinjaman untuk menampung perbelanjaan segera.

“Apabila pembayaran balik menjadi tidak terurus, ramai yang terjebak dalam keberhutangan tinggi dan lebih teruk diisytiharkan muflis​,” terangnya.

Biarpun pelaburan adalah cara utama untuk membina kekayaan dari semasa ke semasa, tetapi pemahaman terhad tentang produk kewangan seperti saham, bon atau pelan simpanan menyebabkan ramai rakyat Malaysia, terutamanya kumpulan B40 tidak mampu menguruskannya dengan baik.

Mohd. Khairi berkata, kekurangan kesedaran tentang cara pelaburan tersebut berfungsi dan keraguan atau ketakutan mengambil risiko, menghalang individu daripada meneroka kaedah untuk mengembangkan simpanan mereka.

“Disebabkan pengetahuan terhad tentang perkhidmatan kewangan formal, sesetengah individu beralih kepada sistem pinjaman tidak formal atau produk kewangan tidak mampan,” jelasnya.

Menyedari kepentingan meningkatkan celik kewangan, kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah memperjuangkan pendidikan kewangan lebih baik.

Program dirangka kini menyasarkan generasi muda untuk menerapkan tabiat perancangan kewangan awal.

“Inisiatif ini mengambil kira perkara asas seperti belanjawan, simpanan dan pelaburan, di samping pengurusan hutang untuk memecahkan kitaran salah urus kewangan serta muflis,” jelas Mohd. Khairi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN