PELUANG Selangor FC melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) masih lagi terbuka meskipun tewas kepada kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Kumpulan H pada Khamis lepas.
Pandangan itu disuarakan bekas kapten Gergasi Merah, Razman Roslan yang menyifatkan secara matematik, pasukan kendalian Abdi Hassan tersebut mampu untuk meloloskan diri daripada saingan kumpulan.
Namun, Razman mengakui skuad Merah Kuning itu tidak boleh terlalu selesa selepas menduduki tangga kedua Kumpulan H ketika ini selain menganggap pertemuan menentang Muangthong United sebagai aksi ‘hidup mati’ pasukan.
“Secara matematik, Selangor ketika ini berada di kedudukan kedua dengan tujuh mata, manakala Muangthong di tempat ketiga menerusi lima mata.
“Saya rasa aksi bertemu Muangthong di laman sendiri bakal menjadi aksi penting.
“Ini kerana selepas itu pasukan akan menentang Cebu FC di tempat lawan dan saya rasa mereka tidak mempunyai masalah untuk meraih keputusan positif.
“Mungkin satu kemenangan dan satu seri sudah cukup (untuk Selangor mara ke pusingan kalah mati) dan merea tidak boleh tewas kepada Muangthong,” katanya.
Sebagai rekod, Gergasi Merah mempamerkan aksi ‘yo-yo’ musim ini apabila tidak begitu konsisten sehingga menyaksikan pengendalinya, Nidzam Jamil meletakkan jawatan secara mengejut bulan lalu.
Bagaimanapun, Selangor masih lagi berada di landasan terbaik apabila kekal menduduki tangga kedua Liga Super selain masih berpeluang mara ke pusingan 16 terbaik ACL2 musim ini.