GEORGE TOWN – Sikap degil dan keras kepala sesetengah pelanggan yang tidak mengendahkan teguran larangan merokok di premis makanan di negeri ini membuat ramai pengusaha pening kepala sehingga ada yang membawa kepada pertengkaran.
Situasi masih berlaku meskipun pengusaha restoran telah menampal pelekat larangan merokok di setiap penjuru premis sejak penguatkuasaannya pada 1 Oktober lalu.
Pengusaha Nasi Kandar Sulaiman, Mirzan Mohamed Yasin berkata, masih ada dalam kalangan pelanggan yang sesuka hati merokok di dalam restoran walaupun sudah dimaklumkan berkali-kali.
Menurutnya, pelbagai pendekatan juga sudah dilakukan termasuk memberi teguran secara baik.
“Memang ada beberapa pelanggan yang tidak mahu ikut peraturan merokok. Mereka masih mahu menghisap rokok di dalam kedai dan ada juga yang ajak berdebat.
“Apabila ditegur, mereka marahkan kami. Mereka tidak mahu dengar cakap sehingga kami terpaksa tahan telinga setiap kali berdepan situasi ini.
“Kami cuma minta mereka faham, di dalam kedai ada pelanggan kanak-kanak, wanita dan warga emas. Tidak susah pun kalau ikut peraturan demi kebaikan semua,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Pengusaha Tea Kadai, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan mengakui ramai pelanggan mula menerima arahan larangan tersebut.
“Peratusan pelanggan yang ingkar arahan semakin berkurangan berbanding sebelum penguatkuasaannya pada 1 Oktober lalu.
“Kami tegur dan biasanya mereka akui. Selain itu, ramai juga yang mula berjaga-jaga kerana takut dikenakan tindakan oleh pihak penguat kuasa berkuasa,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menguatkuasakan Akta 852 yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam bermula 1 Oktober.














