ANDAI boleh diputarkan kembali masa, Mona (bukan nama sebenar) enggan memilih jalan hidup begini.
Namun, apakan daya, nasi sudah menjadi bubur dan kini Mona perlu menerima hakikat bahawa dia dibenci oleh sahabat baiknya akibat perbuatannya sendiri.
Mengimbau kembali, Mona berkata, dua tahun lalu, dia telah menjadi punca kepada putusnya pertunangan rakan baiknya apabila dia sebenarnya sudah bertahun-tahun menjalin hubungan dengan tunang kepada rakan baiknya itu.
Biarpun malu dengan gelaran penyondol yang disandangnya, namun Mona akui dia kini bahagia dengan Imran (bukan nama sebenar) kerana lelaki itu memiliki semua ciri lelaki idamannya.
Ujar Mona, perkenalannya dengan Imran yang juga merupakan bekas tunang rakan baiknya, Wina (bukan nama sebenar) bermula ketika masing-masing baru mula bekerja di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
“Saya dan Wina berkenalan selepas ditempatkan di jabatan yang sama. Memandangkan kami berdua mempunyai banyak persamaan seperti sama-sama berasal dari utara tanah air dan amat suka melancong, maka kami serta-merta menjadi akrab,” kata Mona.
Wina sudah lama berpacaran dengan Imran, yang juga merupakan kenalannya sejak di universiti.
Memandangkan Mona dan Wina cukup akrab, maka Wina memperkenalkan tunangnya itu kepada Mona tanpa menyangka bahawa kedua-kedua mereka akan jatuh cinta.
Ujar Mona, sejak mula mengenali Imran, Mona sering memberitahu Wina bahawa dia bertuah kerana memiliki pasangan seperti Imran yang baginya cukup sempurna.
“Imran merupakan anak orang kaya, namun cukup merendah diri. Dia juga bijak, kacak dan soft-spoken, menjadikan ramai wanita mudah jatuh hati terhadapnya.
“Dia juga amat menyayangi Wina, menjadikan saya sering memberitahu Wina bahawa dia cukup bertuah,” kata Mona.
Wina sering dimanjakan oleh Imran yang tidak pernah berkira dan sering membelikan wanita itu hadiah-hadiah berupa barangan berjenama mewah.
Biarpun gembira untuk Wina, namun apabila terlalu kerap melihat Mona dimanjakan sebegitu, Mona mulai menjadi sangat cemburu, lebih-lebih lagi apabila Mona sering gagal dalam percintaan.
“Saya sentiasa bernasib malang dalam percintaan dan kebanyakan lelaki yang berpacaran dengan saya semuanya jenis tidak berduit atau mengikis wang saya, lantas menjadikan saya semakin tertarik kepada Imran.
“Saya mahu mencari lelaki seperti Imran yang kaya dan tidak kisah berbelanja besar untuk membahagiakan pasangan.
“Entah bagaimana, perasaan saya terhadap Imran semakin menebal, menyebabkan saya nekad untuk cuba menggodanya,” kata Mona.
Ternyata, Imran merupakan seorang lelaki yang mudah termakan pujuk rayu wanita, apatah lagi Mona pula merupakan seorang wanita yang cantik dan manja.
Mona dan Imran mulai berpacaran selama hampir setahun, namun perbuatan itu tidak langsung dapat dihidu oleh Wina.
Imran juga sudah beberapa kali menangguhkan perkahwinannya dengan Wina, dengan memberikan alasan bahawa dia sibuk mengurus syarikat yang diwarisi daripada bapanya.
Hakikatnya, Imran tidak tahu bagaimana mahu memberitahu Wina bahawa dia kini sedang menjalin cinta dengan teman baik wanita itu sendiri.
“Memandangkan kami berdua amat mengenali Wina, maka mudah untuk kami menyembunyikan hubungan kami.
“Setiap kali Wina mula berprasangka buruk selepas Imran berkali-kali menangguhkan perkahwinan mereka, saya akan memainkan peranan sebagai rakan baik yang berpura-pura menenangkannya supaya dia tidak dapat menghidu perbuatan kami.
“Saya akui perbuatan itu amat jahat, namun ketika itu saya mahu ‘menang’ dan berkahwin dengan Imran, memandangkan dia satu-satunya lelaki yang memberikan semua yang saya mahukan yang tidak pernah saya dapat daripada mana-mana lelaki lain sebelum ini,” kata Mona.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Hubungan Mona dan Imran akhirnya terbongkar, selepas seorang rakan sepejabat Imran terserempak dengan pasangan itu ketika mereka sedang bercuti di Dubai.
Wina yang terlalu kecewa memutuskan pertunangan mereka. Biarpun akhirnya kemenangan berpihak padanya, hati Mona serta-merta menjadi tidak tenang kerana diburu rasa bersalah terhadap teman baiknya itu.
“Namun, semuanya sudah terlambat kerana Wina sudah benar-benar bencikan saya, malah keluarganya juga tidak henti-henti menyerang saya di media sosial, memanggil saya dengan pelbagai gelaran seperti penyondol dan sebagainya.
“Apapun, saya reda kerana sedar semuanya berlaku kerana tindakan saya sendiri. Kini, biarpun Imran dan saya sudah berkahwin, namun saya berasa Tuhan bagaikan telah menarik rasa tenang dalam hati saya kerana saya asyik terfikirkan Wina.
“Saya mendapat tahu dia sudah berpindah dan kini menetap di Eropah. Setiap hari selepas solat, saya akan mendoakan kebahagiaan Wina,” kata Mona menutup bicara.














