fbpx
NOR FATHIHAH mengusahakan bisnes Sasabell Beauty bersama suaminya, Farid Yusoff.

Inovasi kecantikan Nor Fathihah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEMASA kita berada di atas, ramai orang cuba mendekati untuk menawarkan peluang kembangkan bisnes.

“Antaranya menawarkan perkhidmatan pemasaran, tetapi hasil atau natijahnya sangat mengecewakan selain terpaksa lebur ribuan ringgit pula.

“Itu belum ambil kira ahli team (kumpulan) sendiri yang berlaku khianat dengan menjual produk di bawah harga pasaran.”

Itu antara yang diluahkan Nor Fathihah Abdul Rashid tatkala berkongsi tentang onak duri yang dilaluinya dalam mengemudi bisnes kecantikan yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.

Akui Nor Fathihah, 35, bukan semua perkara dalam bisnes itu manis-manis belaka seperti apa yang disangka ramai.

Berkesempatan menemu bual anak jati Terengganu ini, Nor Fathihah yang merupakan pengasas produk berjenama Sasabelle Beauty berkata, dia ada sebab tersendiri kenapa memilih mengasaskan perniagaan kosmetik.

Nor Fathihah sebenarnya telah menceburi perniagaan sejak sedekad lalu dengan menjual produk-produk kecantikan pelbagai jenama.

Sebagai seorang suri rumah, tujuannya hanyalah untuk membantu suami menambah pendapatan.

“Sebelum ini saya banyak terlibat dengan jualan kosmetik seperti lipmatte, bedak asas dan lain-lain termasuk untuk dicuba sendiri. Penggunaan kosmetik yang pelbagai boleh mendatangkan masalah kepada kulit yang sensitif seperti saya.

“Disebabkan faktor susah untuk mendapatkan rangkaian produk penjagaan kulit (skincare) di luar sana yang bersesuaian jenis kulit saya sendiri membuatkan saya mengambil langkah untuk menghasilkan produk sendiri.

“Kulit jenis sensitif ini tidak boleh menggunakan sembarangan produk. Kena betul-betul yang serasi dan sesuai.

“Bermula dengan saya mencari ilmu skincare, saya kenal jenis kulit saya dan saya belajar tentang ingredients (bahan) yang diguna pakai. Dari situlah saya ambil keputusan hasilkan rangkaian skincare yang serasi dengan kulit saya.

“Bila sudah berjaya hasilkannya, saya terpanggil untuk berkongsi dengan orang di luar sana yang ada masalah sama seperti saya dengan bantuan team,” katanya panjang lebar tentang perniagaan yang diasaskannya sejak tahun 2022 itu.

ANTARA produk penjagaan kulit yang ditawarkan Sasabell Beauty.

Berbicara lanjut mengenai cabaran dalam perniagaan, anak kelima dalam adik-beradik ini memberitahu pengkhianatan adalah hal yang biasa dilalui para usahawan.

“Cabaran yang boleh saya kongsikan sama seperti usahawan lain, tidak lain tidak bukan, ditipu, dikhianati dan diambil kesempatan. Pun begitu, ia menjadikan saya lebih kuat dan faham tentang perjuangan dalam berbisnes.

“Bab khianat dan menjual dengan harga lebih murah itu saya terus tambah baik segala kelemahan dengan gunakan sistem hologram produk supaya team menjual mengikut harga sebenar dan memastikan semua wakil jualan dapat berbisnes dengan harmoni dan adil,” ujarnya.

Cabaran lain adalah ketika perubahan trend pembelian daripada platform Facebook kepada TikTok yang mana syarikat mereka ‘lambat dan lewat’ beralih.

“Cabaran ketika itu adalah untuk konsisten dan agresif dalam hasilkan video content sebab platform TikTok rata-rata memerlukan video dan suapan baharu saban hari,” katanya.

Biarpun pelbagai rintangan dilalui golongan usahawan, namun Nor Fathihah mengingatkan jangan sesekali kenal erti putus asa.

“Kalau jatuh sekalipun, tetaplah bangun dan buat lagi sehingga kita berjaya. Seterusnya kita perlulah sabar. Setiap kejayaan perlukan kesabaran. Dunia perniagaan ini penuh dengan cabaran. Bila kita terjun ke dunia bisnes kita kena bersedia dengan segala cabaran sehingga berjaya.

“Macam saya juga, awal-awal berniaga mula dari rumah sahaja. Alhamdulillah, kini kami sudah ada sebuah syarikat yang ada bangunan fizikal sendiri selain lebih 10 orang staf,” katanya.

Kongsi Nor Fathihah, antara ‘best seller’ produk yang ditawarkan dan dikenali pengguna adalah Sasabell Sunscreen (pelindung tabir suria).

Katanya, Sasabell Sunscreen diformulasikan khas untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif sepertinya.

“Sasabell Sunscreen mempunyai efek tone up, bila pakai akan kelihatan glowing dan pengguna tidak perlu lagi untuk pakai foundation kerana sudah kelihatan glowing (bercahaya).

“Paling istimewa adalah teksturnya yang ringan dan mudah meresap. Jadi, ia boleh mengelakkan liang pori dari tersumbat dan seterusnya mengalami masalah kulit,” kata wanita itu yang belum dikurniakan zuriat.

Ditanya pendekatan yang diambil dalam memastikan perniagaan dan produk ditawarkan terus relevan, Nor Fathihah memberitahu, kualiti dan perkhidmatan menjadi terasnya.

Katanya, syarikat akan memastikan produk dikeluarkan dan dipasarkan berkualiti serta selamat untuk digunakan sekali gus pelanggan berpuas hati dan membuat pembelian semula.

Selain itu, pesannya, untuk usahawan dan bakal peniaga yang berbisnes bersama pasangan sepertinya, jangan sesekali bawa masalah perniagaan ke rumah dan sentiasa letakkan suami sebagai ketua dalam keluarga.

Akhir kata, Nor Fathihah sempat mengajak semua pembaca untuk menyertai kempen beli dan menang produk Sasabell Suncreen kerana pelbagai hadiah menarik ditawarkan.

“Hadiah kita berupa sebuah kereta Mercedes Benz, pakej umrah, sebuah motosikal dan banyak lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN