Koleksi monogram ini didatangkan dalam enam warna menarik.

Bawal monogram untuk gaya anggun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMAKAIAN tudung sama ada jenis bawal atau selendang bermotif monogram sememangnya mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Monogram yang merujuk kepada motif lambang beberapa huruf yang dicantum bersama, sering digunakan sebagai logo tersendiri bagi menyerlah identiti atau jenama.

Motif sebegitu juga sering menjadi pilihan ramai, memandangkan ia mudah dipadankan bersama apa jua jenis pakaian untuk gaya versatil.

Sebagai mengimbangi perkembangan dan permintaan fesyen terkini, label Putri n Rex pada 25 Oktober lalu melancarkan koleksi bawal monogram yang dinamakan ‘The Icon Monogram’ bertempat di restoran The Oriental Park, Isetan, Suria KLCC.

Pengasasnya, Putri Rex, 37, berkata, dia berasa sudah tiba masanya untuk label itu memperkenalkan satu koleksi monogram yang juga merupakan motif diminati ramai.

“Putri n Rex sudah pun berada di pasaran selama lapan tahun. Sebuah perniagaan yang pada mulanya hanya diasaskan dari rumah, kini semakin berkembang dan boleh didapati di gedung beli-belah Isetan.

“Memandangkan saya sebelum ini belum pernah memperkenalkan tudung bercorak, maka untuk koleksi corak pertama ini, saya memilih untuk memperkenalkan motif monogram yang didatangkan dalam bentuk tudung bawal,” katanya kepada Stailo.

Putri menambah, motif tersebut adalah gabungan huruf P dan juga R yang melambangkan Putri n Rex. Namun, bagi menjadikan ia lebih menarik, Putri menggabungkan empat logo tersebut yang disusun bagi menyerupai bentuk sekuntum bunga.

Kombinasi huruf P dan R yang membentuk sekuntum bunga menjadi motif koleksi terbaharu ini.

Koleksi tersebut didatangkan dalam enam warna menarik iaitu Memoira yang merupakan kombinasi warna champagne dan coklat, Amorflame yang merupakan kombinasi warna merah hati dengan putih, Noirveil yang merupakan kombinasi warna hitam dan putih, Whimsical yang merupakan kombinasi warna putih, biru dan merah jambu pastel, Funfetti yang merupakan kombinasi warna champagne dan biru lembut serta Modessa yang merupakan kombinasi warna putih dan hijau sage.

Ujar Putri, kombinasi kesemua warna tersebut adalah ideanya sendiri dan secara peribadinya, kombinasi warna paling disukainya bagi koleksi itu adalah Memoira.

“Bagi pemilihan warna The Icon Monogram Putri n Rex, saya memilih dua rona pastel dan empat rona bold bagi menampilkan sedikit kelainan.

“Hal ini kerana jika dilihat, kebanyakan label tudung akan lebih tertumpu untuk menghasilkan lebih banyak tudung daripada rona pastel, namun saya memilih untuk memperbanyak rona bold kerana melihat ia lebih sesuai dengan dengan trend warna semasa, khususnya warna burgundy atau merah hati yang cukup diminati ramai kini,” kongsinya.

Bercakap tentang pemilihan fabrik pula, Putri memberitahu, gabungan fabrik satin dan juga kapas menjadi pilihan memandangkan selain mudah dibentuk, ia juga merupakan material yang sesuai digunakan untuk tudung bawal.

Turut berkongsi tip penggayaan tudung bawal, anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu berkata, kerongsang atau jarum peniti menjadi item wajib yang perlu digayakan bersama tudung jenis itu.

“Tudung bawal, khususnya daripada material yang sedikit licin tidak boleh digayakan secara pinless atau tanpa kerongsang kerana ia akan menjadikan gaya kita nampak tidak kemas.

“Tip saya adalah pastikan anda mempunyai kerongsang atau pin yang diletakkan pada mana-mana bahagian di kepala untuk menghasilkan gaya yang diinginkan.

“Selain itu, satu lagi item penting adalah anak tudung daripada material kapas, kerana material ini membantu tudung anda kekal kemas di atas kepala dan tidak bergerak-gerak,” katanya.
The Icon Monogram Putri n Rex sudah boleh didapati di pasaran dan dijual pada harga RM89 sehelai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN