fbpx
Potongan badannya yang membulat menampakkan ia sebagai model fastback yang agak sporty.

Ora 07 EV ‘sporty’ mata kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FENOMENA kenderaan elektrik (EV) menjadikan setiap pengeluar jenama automotif tampil dengan rekaan menarik dan teknologi terkini.

Ciri-ciri tersebut boleh dilihat pada EV sedan Ora 07 atau dikenali Ora Lightning Cat yang dilancarkan Great Wall Motor (GWM) Malaysia untuk pasaran tempatan April lalu.

Sekali pandang, Ora 07 nampak seperti Porsche 911 dan Panamera, manakala bahagian dalam pula diilhamkan daripada kereta mewah Bugatti Chiron.

Maka tidak hairanlah, sedan EV fastback ini mempunyai ‘aura’ tersendiri dan menarik perhatian apabila meluncur di jalan raya.

Potongan badannya yang membulat sehingga ke pintu belakang sebenarnya menampakkan ia sebagai model fastback yang agak sporty sehingga berjaya mencuri perhatian.

Elemen itu terhasil kerana model ini dibuat oleh bekas pereka bentuk Porsche, Emanuel Derta.

Ora 07 ditawarkan dalam dua varian iaitu Long Range Ultra yang dijual pada harga RM169,800 atas jalan tanpa insurans dan Performance pula berharga RM189,800.

Dari segi dimensi, Ora 07 berukuran panjang 4,871 milimeter (mm), 1,862mm lebar, 1,500mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,870mm.

Rekaannya menarik dengan lampu depan jenis LED bentuk bulat nampak seperti mata kucing, selain pintu tanpa bingkai dan spoiler belakang adaptif elektrik.

Ia diperkemas dengan rim aloi bersaiz 18 inci untuk varian Long Range Ultra dan 19 inci bagi Performance.

Di bahagian belakang, ia digandingkan dengan lampu LED berbentuk bujur bersaiz besar, lampu kabus LED dan bumbung kaca panaromik 1.7 meter ala kubah.

Baru-baru ini, penulis teruja apabila diberi peluang oleh GWM untuk memandu uji Ora 07 yang membuatkan penulis jatuh cinta dengan rekaannya.

Bukan sekadar reka bentuk unik, penulis yang mencuba varian Long Range Ultra kagum dengan prestasi EV buatan China ini yang memberi kuasa mencukupi apabila melalui laluan bandar.

Jarak geraknya yang dikatakan boleh mencapai 640km bagi pengecasan penuh membuatkan penulis ‘tenang’ untuk memandu ketika keadaan jalan sesak, malah ia sesuai untuk perjalanan jauh.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Antara yang menarik pada rekaan dalamannya ialah tiga butang tengah yang kelihatan kemas dan sporty.

Bagi varian Long Range Ultra, ia diberikan motor elektrik tunggal dengan pacuan roda hadapan yang mampu memberikan kuasa 204hp dan tork 340Nm dengan jarak gerak sehingga 640km mengikut data New European Driving Cycle (NEDC).

Ia boleh dipecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 7.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 170km/j.

Varian paling tinggi Performance pula dilengkapi motor elektrik berkembar dan sistem pacuan semua roda (AWD), dengan janaan kuasa 408hp dan tork 680Nm dengan jarak perjalanan mencecah 550km (NEDC).

Kedua-dua varian dibekalkan dengan bateri Lithium Ion-Nickel Manganese Cobalt (NMC) dengan kapasiti mencecah sehingga 83.5kWh.

Ora 07 ini menyokong pengecasan terus (DC) sehingga 88kW di mana bateri boleh dicas 30 hingga 80 peratus dalam masa hanya 30 minit.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih realistik ialah kehadiran simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infotainment.

Selain itu, bagi memberi pemanduan yang lebih selesa, terdapat lima mod yang boleh diselaraskan iaitu Normal, Well Being, Individual, Eco dan Sport.

Penulis yang telah biasa memandu kenderaan yang dijana enjin pembakaran dalaman (ICE) selesa dengan mod Well Being yang mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal.

Menjengah ke ruangan kabin, sedan EV ini menggunakan elemen Bugatti Chiron yang minimalis dengan tiga butang tengah boleh ‘dipusingkan’.

Penulis juga suka dengan rekaan skrin kluster digital berbentuk bulat yang nampak ringkas dan jelas.

Ia dilengkapi skrin sentuh 12.3 inci, instrumen LCD sepenuhnya 10.25 inci serta audio premium Infinity selain pencahayaan ambient.

Bahagian kerusinya dibalut dengan material seperti kulit berwarna hitam dengan kerusi ala semibucket, tetapi alas kakinya kurang digemari penulis kerana menggunakan material baldu yang tidak tahan lasak.

Apa yang menarik bagi kereta ini yang mungkin tidak terdapat pada kenderaan lain ia kebolehan aplikasi mengurut untuk pemandu dan penumpang bahagian depan.

Dari segi keselamatan, sedan EV ini boleh dipuji lengkap dengan sistem ADAS yang dibantu oleh 12 unit penderia ultrasonik dan kamera 360 darjah.

Ia turut diberikan lebih 20 ciri keselamatan maju, antaranya ciri bantuan meletak kenderaan, kawalan kelajuan adaptif, amaran penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan pengesan papan tanda trafik.

Selain itu, ia dilengkapi kawalan jarak parkir, kepekaan trafik lintasan belakang, amaran ketibaan lorong, amaran perlanggaran belakang, program kestabilan elektronik dan banyak lagi.

Tiga pilihan warna badan Ora 07 ditawarkan iaitu Crystal Purple, Amethyst Grey dan Jade White.

Setiap pembelian mana-mana varian Ora O7 ini, ia diberikan waranti sehingga enam tahun atau 150,000km dan juga waranti bateri, motor elektrik dan unit kawalan motor elektrik hingga lapan tahun atau 180,000km.

Kesimpulannya, Ora 07 boleh menjadi satu alternatif bagi sedan EV yang dapat memenuhi cita rasa golongan pengguna yang mahukan kelainan dan mahu menonjol daripada kebiasaan.
Reka bentuk menjadi taruhan bagi Ora 07 yang bersaing dengan model EV dengan harga dan ciri-ciri hampir sama iaitu BYD Seal dan Tesla Model 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN