SATU persatu berita perceraian artis di Malaysia muncul di ruang media sosial.
Meskipun ramai peminat bersedih, namun terdapat juga cadangan untuk ‘menjodohkan’ artis-artis tersebut dengan pasangan baharu.
Antara gandingan paling hangat dijodohkan pada ketika ini adalah pelakon, Fattah Amin bersama pempengaruh dan usahawan, Cik Epal.
Dan ‘penyatuan jodoh’ tersebut mendapat respon positif daripada Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud.
Situasi ini menimbulkan persoalan berkenaan ‘adab’ kerana kedua-dua individu itu baharu sahaja bercerai dan masih dalam tempoh idah.
Lagipun, haram bagi isteri dalam tempoh iddah dipinang secara terangan dan keluar rumah tanpa keperluan syarie.
Namun, bagaimana pula dengan tindakan netizen yang galak menjodohkan orang dengan pasangan baru sebaik sahaja penceraian dilafazkan?
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan al- Syariah, Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdullah, tindakan dan perbuatan sedemikian adalah ditegah syarak dan tidak berakhlak.
Ujarnya, masyarakat perlu memahami hikmah tempoh idah yang disyariatkan Islam bagi pasangan bercerai hidup atau mati.
“Ijmak ulama bahawa beridah ialah wajib sama ada tiga kali suci bagi wanita yang masih mempunyai haid atau melahirkan anak jika mengandung.
“Tempoh tiga kali suci ini sangat singkat tetapi kesannya sangat mendalam kepada psikologi pasangan,” katanya.
Untuk pengetahuan, idah merupakan salah satu daripada perintah Allah SWT dan aturan hidup yang telah disyariatkan melalui al-Quran dan hadis.
Antara hikmah syariat tersebut adalah memastikan rahim wanita bersih daripada sebarang benih bagi memastikan pertalian nasab atau keturunan dapat dijaga.
Selain itu, tempoh tersebut juga memberi ruang kepada pasangan untuk menilai semula tindakan mereka dan memberi peluang untuk rujuk kembali.
Sementara bagi pasangan bercerai mati, idah memberikan tempoh bertenang kepada seorang isteri yang kehilangan suami.
Tambah Mohd. Azhar lagi, idah juga membuktikan bahawa Islam berusaha sedaya upaya menyelamatkan kembali perkahwinan umatnya.
“Rujuk itu hak suami selama dalam idah talaq rajie, suami mempunyai hak yang ditetapkan syarak padanya.
“Untuk isteri pula, sunat bagi isteri berhias, bercantik-cantik di hadapan suaminya bagi memujuk kembali kepada perkahwinan,” jelasnya.
Justeru, tindakan netizen menjodohkan mereka sewaktu dalam tempoh idah adalah tidak wajar.
Ujarnya, perkara tersebut menjadikan keadaan rumah tangga selebriti terlibat menjadi semakin sulit dan kritikal.
“Malangnya, betapa ramai pemain-pemain media sosial menyalahgunakan media demi mencari publisiti murahan.
“Tindakan menyebar fitnah, gosip dan menjodohkan ini nanti akhirnya merosakkan perkahwinan yang sepatutnya masih boleh diselamatkan tadi,” ujarnya.














