LONDON – Bekas penjaga gol England, David James percaya pengendali Arsenal, Mikel Arteta telah membuat kesilapan ketika memutuskan untuk melepaskan penjaga gawang mereka, Emiliano Martinez sebelum.
Pemain yang memiliki 53 kap bersama England itu mengakui bahawa Martinez adalah ‘puzzle’ yang hilang ketika Arsenal masih bertungkus lumus untuk menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas 20 tahun.
Martinez menghabiskan masa hampir sedekad di Emirates dalam skuad utama The Gunners, tetapi hanya membuat 38 penampilan apabila tidak diberikan banyak peluang untuk bersaing mendapatkan posisi penjaga gol utama pasukan itu.
Musim 2020 menyaksikan Martinez akhirnya mendapat peluang mencipta karier yang sebenar selepas berhijrah ke Aston Villa dengan harga £17 juta (RM95.36 juta) apabila Arteta membawa masuk Bernd Leno sebelum mendapatkan khidmat Aaron Ramsdale.
Jodoh Ramsdale juga tidak panjang di Emirates apabila Arteta berjaya mendapatkan khidmat David Raya sebelum dia dijual ke Southampton, namun James percaya penjualan Martinez adalah kesilapan besar pengurus dari Sepanyol itu.
“Melihat kepada perkembangan penjaga gol dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, tidak banyak yang memiliki karakter, tetapi Martinez salah seorang yang mempunyai perkara itu (karakter).
“Dia adalah seorang pemain yang dianggap memiliki karakter dalam perlawanan besar. Dia sentiasa mahu berada dalam aksi berprofil tinggi. Martinez sebenarnya adalah penjaga gol yang tepat untuk Arsenal.
“Dia adalah ‘raksaksa’. Tak banyak penjaga gol dalam liga ketika ini yang mampu berada pada tahap sepertinya. Antara Raya, Ramsdale dan Martinez, anda boleh nilai sendiri siapa yang lebih baik,” jelasnya. – AGENSI