“INILAH masa untuk perubahan, inilah masa untuk wanita.
“Saya seorang ibu, nenek, saintis dan seorang wanita. Mulai hari ini, atas kehendak rakyat Mexico, saya ialah presiden anda.”
Itu kata-kata semangat dengan nada penuh beremosi Claudia Sheinbaum di Kongres Mexico City dalam ucapan pertamanya usai diangkat menjadi presiden Mexico yang baharu.
Istimewanya, figura berusia 62 tahun itu merupakan wanita pertama dilantik sebagai presiden Mexico yang berkuat kuasa 1 Oktober lalu.
Selepas negara mencapai kemerdekaan lebih 200 tahun lalu, Mexico merupakan salah satu negara paling konservatif di Amerika Latin yang belum pernah melantik mana-mana presiden dalam kalangan wanita.
Sebelum ini, kesemua 65 mantan presiden negara itu merupakan lelaki dan ini sekali gus menjadi indikasi bahawa golongan wanita juga boleh diberikan peluang dan mampu menerajui negara itu.
Pada pilihan raya baru-baru ini, dia yang merupakan bekas Datuk Bandar Mexico City dan ahli Gerakan Penjanaan Semula Kebangsaan (Parti Morena) berhaluan kiri berjaya memperolehi antara 58 hingga 60 peratus undi.
Menurut data dan statistik yang dikeluarkan Institut Pilihan Raya Nasional Mexico, jumlah undian tersebut adalah lebih 30 peratus mata di hadapan pesaing utamanya, Xochitl Galvez, serta 50 peratus melebihi satu-satunya calon lelaki, Jorge Alvarez Maynez.
Kemenangannya menyaksikan beliau menggantikan presiden terdahulu yang juga merupakan ‘mentornya’ Andres Manuel Lopez Obrador.
Merupakan anak kedua daripada tiga beradik, Sheinbaum berasal daripada keluarga Yahudi yang berhijrah dari Bulgaria ke Mexico pada tahun 1930-an.
Dilahirkan dan dibesarkan di Mexico City, Sheinbaum belajar balet ketika kanak-kanak dan dilihat ‘lari’ daripada kebiasaan orang Mexico.
Bapanya, Carlos Sheinbaum, adalah seorang jurutera elektrik, manakala ibunya, Annie Pardo, seorang ahli biologi yang dihormati.
Pada usia 15 tahun, Sheinbaum sudah mengikuti aktiviti sukarelawan membantu para ibu malang mencari anak-anak perempuan yang hilang.
Sheinbaum juga mengikut jejak ibu bapanya menjadi saintis apabila dia mengikuti pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran dalam bidang kejuruteraan tenaga di National Autonomous University of Mexico.
Di universiti, Sheinbaum menunjukkan ciri kepimpinan apabila menjadi aktivis mahasiswa sejak era universitinya (80-an hingga 90-an).
Dalam masa sama, Sheinbaum menunjukkan bakat luar biasa dalam penyelidikan saintifik dan teknologi yang kemudiannya membuka jalan untuknya menyumbang kepada isu alam sekitar dan tenaga di Mexico.
Selepas memperoleh ijazah kedoktoran, dia meneruskan kerjaya dalam dunia akademik dan menjadi profesor di universiti tempatnya belajar sebelum bergelar saintis.
Claudia mempunyai minat khusus dalam isu alam sekitar, terutama yang berkaitan dengan perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui.
Dia telah menerbitkan banyak kertas saintifik dan mengambil bahagian dalam projek penyelidikan yang memberi tumpuan kepada mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga.
Disebabkan itu, wanita ini juga diangkat sebagai pemenang Anugerah Nobel Keamanan 2007 berkongsi bersama Al Gore.
Perjalanan politiknya bermula pada tahun 2000 apabila dia dilantik Ketua Pegawai Alam Sekitar oleh Obrador yang ketika itu merupakan Datuk Bandar Mexico City kerana memerlukan seorang pakar alam sekitar yang progresif bagi membantunya mengatasi masalah pencemaran akut di kota besar itu.
Sheinbaum kemudian meninggalkan jawatannya untuk membantu menjadi jurucakap kempen presiden Obrador pada tahun 2006.
Sheinbaum mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama datuk bandar di Mexico apabila dipilih menjadi Datuk Bandar Mexico City pada 2018.

Daripada latar belakang hidupnya ini, Sheinbaum dilihat akan menjadikan agenda isu-isu saintifik, alam sekitar, kemajuan dan memperkasa wanita antara tunjang keutamaannya.
“Saya berjanji akan mentadbir negara untuk semua orang. Saya juga yakin akan meletakkan pengetahuan, kekuatan, sejarah dan kehidupan saya sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara sebaik mungkin,” ungkapnya.
Dalam ucapan seterusnya pada sesi sebelah petang hari kedua bergelar presiden di dataran Zocalo, dia turut melafazkan 100 ikrar dan janji di hadapan rakyat jelata.
Ia termasuklah memperluas penjagaan kesihatan dan pendidikan awam, meneruskan akses jaringan perkhidmatan rel, membina sejuta unit rumah baharu serta mengawal harga barangan komoditi utama.
Selain itu katanya, satu resolusi juga bakal dihantar dan dibentangkan ke Kongres Mexico dalam usaha memerangi keganasan dan diskriminasi jantina di Mexico. Gaji pekerja wanita di Mexico misalnya lebih rendah daripada pekerja lelaki untuk pekerjaan sama.
“Kerajaan saya berusaha menghapuskan diskriminasi serta melindungi kesaksamaan wanita di negara ini,” katanya.
Sheinbaum menegaskan untuk melindungi hak asasi wanita di negara itu yang selama ini berdepan ancaman keganasan dan ketidakadilan.
Biarpun semakin ramai wanita dipandang tinggi dalam masyarakat, hakikatnya berdasarkan kaji selidik, di Mexico lebih 70 peratus perempuan berusia 15 tahun ke atas pernah melalui pengalaman keganasan.
Kira-kira 9 hingga 10 wanita mati dibunuh setiap hari, selain puluhan ribu gadis hilang.














