PETALING JAYA – Kerajaan perlu menetapkan undang-undang yang lebih ketat terhadap perkhidmatan Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL) bagi mengatasi masalah bebanan hutang khususnya membabitkan golongan orang muda.
Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, fasiliti tersebut sepatutnya mempunyai saringan yang terperinci bagi setiap pengguna dalam usaha mengelak mengumpul hutang yang tidak perlu.
Katanya, antara saringan yang boleh dilaksanakan ialah peniaga wajib membuat penilaian kredit peribadi seseorang pengguna terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Kurangnya peraturan dalam pelaksanaan BNPL ketika ini menyebabkan ramai terperangkap dengan hutang yang tidak perlu, malah tidak dinafikan kecenderungan golongan muda menggunakan fasiliti itu memang lebih tinggi daripada golongan tua.
“Ketika ini kita dapat lihat terlalu banyak platform diwujudkan bagi skim tersebut berbeza dengan sebelum ini di mana beberapa platform sahaja menawarkan perkhidmatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, sekiranya tidak dibendung dikhuatiri lebih ramai golongan muda akan terjerumus dalam masalah bebanan hutang tidak perlu.
“Kalau dahulu, orang berhutang untuk beli aset seperti rumah dan kereta. Barangan bernilai yang boleh dijual semula, tetapi kini ramai berhutang kerana hendak memenuhi kemahuan gaya hidup.
“Kemungkinan BNPL ini perlu ada untuk merancakkan industri dan kewangan, tetapi peraturan juga perlulah ditetapkan. Jika tidak, akan wujud lebih banyak skim-skim hutang yang akhirnya memerangkap pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, subjek perancangan kewangan yang telah diajar di peringkat sekolah bagi memupuk kesedaran celik kewangan perlu dibuat berdasarkan situasi kewangan semasa.
“Kerajaan sejak 10 tahun lalu lagi telah memasukkan kurikulum perancangan kewangan dalam sekolah bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Di sekolah menengah juga ada subjek perdagangan untuk pupuk celik kewangan.
“Tetapi, isunya sekarang kesedaran itu tiada, mungkin disebabkan industri kewangan sentiasa berubah. Jadi, di dalam modul di sekolah tidak menjelaskan tentang bahaya BNPL. Jadi, pendapat saya subjek BNPL peru dimasukkan untuk hasilkan golongan muda celik kewangan,” katanya.
Pada 2 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan, Laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan 53,000 individu di bawah 30 tahun sudah dibebani hutang hampir RM1.9 bilion.
Beliau berkata, AKPK melaporkan 28 peratus rakyat Malaysia dewasa yang bekerja terpaksa meminjam wang hanya untuk membeli barangan keperluan.
“Tahap celik kewangan yang rendah ini membimbangkan me mandangkan hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia.
“Sehingga 2023, hutang isi rumah telah mencecah RM1.53 trilion, bersamaan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), satu daripada nisbah tertinggi di rantau ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE














