fbpx
SEBUAH lori dan motosikal serta tong racun yang ditemui di kawasan rumah yang diceroboh warga asing di Perumahan Banjir Simpang Sepayang di Rompin kelmarin.

Ceroboh rumah orang, mereka sudah besar kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Seorang warga emas tidak menyangka rumah milik­nya yang dibiarkan kosong di Perumahan Banjir Simpang Sepa­yang di sini, telah diceroboh dan didiami sekumpulan warga asing.

Aishah Ismail, 69, berkata, situasi itu telah mencetuskan keresahan penduduk setempat mengenai keselamatan nyawa dan harta benda mereka.

Menurut wanita itu, dia yang kini tinggal bersama anaknya di Bentong pernah pulang ke kampung dua bulan lalu dan mendapati rumah yang dilengkapi de­ngan kemudahan air dan ­elektirk itu berada dalam keadaan kosong.

“Bagaimanapun, semalam (kelmarin), saya terkejut apabila melihat gambar dihantar jiran menunjukkan rumah berkenaan diduduki sekumpulan lelaki.

“Malah, jiran memaklumkan ada terdapat lori dan motosikal yang diletakkan di dalam kawasan rumah selain terdapat tong racun,” katanya di sini semalam.

Katanya, dia tidak pernah menyewakan rumah berkenaan kepada mana-mana pihak terma­suklah warga asing.

Susulan itu, katanya, tindakan warga Bangladesh berkenaan yang begitu berani menceroboh rumah penduduk adalah tidak wajar sehingga mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan penduduk yang lain.

“Saya bersama anak, Azrul Ridhuan Abdul Rahman, 38, telah membuat laporan polis di Balai Polis Rompin bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk dikenali sebagai Hashim berkata, tindakan warga asing berkenaan sangat mengejutkan dan meminta pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera demi keselamatan penduduk.

Katanya, kumpulan warga ­asing berkenaan yang menaiki lori dan motosikal dipercayai bekerja di sebuah ladang sawit berhampiran kerana mereka pernah dilihat membawa peralatan meracun.

“Kami juga tertanya-tanya sama ada warga asing berkenaan mempunyai dokumen dan permit sah untuk tinggal di negara ini.

“Kami berharap perkara itu dapat dibendung melalui tindakan tegas oleh pihak polis. Sejak akhir-akhir ini juga warga asing sering kelihatan di kawasan kampung termasuk ada yang melakukan perniagaan.

“Mereka ini sudah besar kepala dan kita harap kejadian ini tidak berulang melibatkan ba­nyak lagi rumah kampung. Kami bimbangkan keselamatan anak-anak apabila warga asing ramai yang tinggal di sini.

“Penduduk tidak tahu siapa mereka dan apa mereka buat di kampung ini. Kami hanya berharap pihak berkuasa dapat me­lakukan operasi dan pemeriksaan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerena menceroboh rumah yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN