MOHD. AZAM memaklumkan, setiap pendidik perlu mempunyai ‘nyala rasa guru’ dalam mendidik murid.

Bangkitkan nyala rasa guru dalam mendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENURUT Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal pada setiap tahun.

Jumlah tersebut jauh melebihi statistik Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari 2021.

Difahamkan, punca masalah tersebut adalah bebanan tugas pendidik, selain perubahan penggunaan teknologi yang tidak mampu dikuasai oleh sesetengah guru.

Selain itu, kerenah pelajar dan ibu bapa masa kini yang mencabar dilaporkan menjadi antara punca guru mengalami burnout.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berkesempatan menemu bual Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), DR. MOHD. AZAM AHMAD.

Kosmo! Ahad: Sejak kebelakangan ini, ramai guru yang merungut disebabkan beban tugas sehingga berlaku burnout. Apakah pendapat Dr. berkenaan isu ini?
DR. MOHD. AZAM: Untuk mengupas isu ini, terlebih dahulu kita kena faham maksud ‘beban tugas’ tersebut. Ramai memahami bahawa tugas guru mengajar semata-mata.

Hakikatnya, semua kerja berkaitan proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tugas seorang guru.

Misalnya, apabila mengajar, guru perlu melakukan pentaksiran bagi mengukur pencapaian murid sama ada mereka menguasai ilmu dan kemahiran diajar itu.

Justeru, penyediaan pentaksiran dan pengumpulan data pentaksiran adalah tugas profesional guru.

Data tersebut pula dianalisis bagi menjadi asas membina intervensi untuk murid.

Proses pengajaran tidak terhad pada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

Sebaliknya, PdP juga berlaku di luar bilik darjah melalui kegiatan kelab, persatuan, sukan dan permainan. Guru perlu mendidik dan membimbing murid untuk ilmu, kemahiran dan memupuk nilai melalui kegiatan kokurikulum tersebut. Ini juga sebahagian tugas profesional guru.

Oleh itu, guru mungkin akan terlibat untuk menghantar murid menyertai pertandingan, perkhemahan dan lawatan.

Aktiviti ini juga merupakan proses pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan guru bersama-sama dengan murid. Apabila bercakap tentang burnout, kita teliti faktor burnout. Salah satu faktornya adalah disebabkan oleh ilmu dan kemahiran yang ada pada guru tidak lagi relevan dengan perubahan zaman dan teknologi.

Justeru, guru tidak berupaya mengadaptasi ilmu dan kemahiran baharu dengan peranan dan fungsi.

Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan oleh ‘rasa terlalu selesa’ dengan keadaan yang ada. Oleh itu, KPM sentiasa menyokong guru dalam memperbaharui dan meningkatkan ilmu serta pengetahuan berkaitan teknik pengajaran baharu menggunakan kemahiran teknologi.

Kedua, guru juga burnout kerana sudah terlalu lama di tempat sama sehingga mereka jadi ‘tepu’.

Inilah antara sebab digalakkan sistem penempatan semula guru (redeployment) dilakukan seperti antara sekolah dalam daerah, luar daerah atau luar negeri. Berhubung beban tugas dan burnout ini, perkara utama adalah kesedaran dalaman dan mindset guru hendaklah positif, di samping perancangan sistematik bagi menangani isu ini.

Apakah latihan yang disediakan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bagi memastikan mental dan fizikal bakal guru bersedia untuk berkhidmat kelak?
Di IPGM, kurikulum yang disebut sebagai maklumat kurikulum (MK) sentiasa akan dinilai dan dilihat selalu supaya maklumat kurikulum mengambil kira dinamika kehidupan.

MK yang digubal memiliki akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus menjadi asas dalam kemampanan ilmu dan kemahiran siswa guru.

Namun tidak cukup dengan MK, elemen-elemen seperti Program Bina Insan Guru (BIG), aktiviti kokurikulum dan pendidikan luar menjadi mekanisme membangunkan pelbagai ilmu dan kemahiran.

Misalnya, BIG membangunkan kemahiran seperti interpersonal, komunikasi, digital dan sebagainya. Ini antara kandungan dalam pendidikan guru di IPGM yang bukan hanya membangunkan aspek kognitif, malah elemen-elemen insaniah dan manusiawi juga perlu diberikan perhatian.

Ia bagi melahirkan guru yang berkualiti, tangkas dan sentiasa mempunyai nyala rasa guru yang membara untuk mendepani cabaran pendidikan dalam era digital.

Kini, setiap guru mesti ada kreativiti tersendiri untuk menyampaikan kurikulum berkesan kepada pelajar. Apakah dilakukan IPGM bagi memperkasakan kreativiti guru?
Kreativiti dan inovasi amat penting dalam mereka bentuk pedagogi (cara atau seni mengajar).

Setelah pedagogi direka bentuk, guru akan menentukan jenis teknologi yang sesuai untuk melaksanakan pedagogi tersebut dengan mengambil kira aras keupayaan murid dan pengalaman pembelajaran bermakna untuk murid. Oleh itu, IPGM sentiasa membangunkan aspek kreativiti dan inovasi dalam kalangan pensyarah dan siswa guru.

Misalnya, setiap zon menganjurkan PedaTed, iaitu persidangan yang memfokuskan inovasi.

IPGM juga baru sahaja selesai menganjurkan Persidangan i-Mind yang menjemput penyertaan dari dalam dan luar negara.

Bagi merancakkan aktiviti berteraskan kreativiti dan inovasi, IPGM telah memperkasakan Program Sekolah Pengajar. Ia sebagai medium untuk pensyarah dan siswa guru mengaplikasi teori, formula dan inisiatif baharu yang direka cipta berkaitan PdP. Di sini, inovasi yang dibawa ke sekolah pengajar dapat diuji dan dibuktikan, di samping dapat dibuat penambahbaikan.

Hal ini penting kerana inovasi yang dicipta dan teruji serta terbukti dalam membantu menyelesaikan isu pembelajaran murid dapat dikongsi di seluruh negara. IPGM juga telah membuka Hab

Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua 27 kampusnya. Hab STEM IPGM bukan hanya terhad pada robotik, malah merangkumi semua elemen dalam STEM. Tujuan Hab

STEM IPGM adalah untuk membangunkan kemahiran dan pembudayaan STEM dalam kalangan pensyarah dan siswa guru.

Bagaimana IPGM menyediakan siswa guru dalam menghadapi suasana pembelajaran berbeza seperti sekolah di pedalaman, perkampungan dan bandar?
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) menyebut tentang prinsip mencari penyelesaian berdasarkan keperluan setempat. Prinsip ini diambil kira dalam membangunkan kreativiti dan inovasi siswa guru.

Di IPGM, kami gunakan model 3R iaitu Rigor (ketegasan dan ketelitian), Relevance (kepentingan) dan Relationship (hubungan).

Selain itu juga IPGM ada model Triple E iaitu Enggage, Enhance dan Extension. Model Triple E menyediakan pendekatan berstruktur bagi guru dalam mengintegrasikan teknologi. Contoh di luar bandar, tidak ada kemudahan AI (kecerdasan buatan) tapi tetap ada teknologi yang boleh dimanfaatkan. Misalnya, di kawasan pertanian boleh gunakan mesin-mesin yang ada sebagai bahan mengajar murid.

Kita juga dapat memperluaskan pengalaman dengan memberikan murid peluang ‘menerokai’ dunia merentasi persekitaran mereka. Sebagai contoh, tunjuk gambar atau guna kreativiti guru untuk bawa dunia luar kepada.

Inilah penting untuk kami bangkitkan ‘nyala rasa guru’.

Reformasi pendidikan yang digagaskan oleh pihak kementerian telah mengubah struktur institusi pendidikan di Malaysia. Justeru, adakah IPGM perlu mengubah paradigma dan peranannya dalam melahirkan guru berkualiti?
KPM telah menubuhkan enam pasukan petugas khas di bawah reformasi pendidikan bagi memperkasakan haluan pendidikan negara. IPGM juga bekerjasama dengan Bahagian Perancangan dan

Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) dalam Pasukan Petugas Khas Prasekolah.

Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) yang berada di bawah Pasukan Petugas Khas Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah menganjurkan Pidato Tiga Minit Aspirasi Generasi Madani di peringkat sekolah rendah.

Ia telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR). IPGM juga telah menggerakkan Sahabat Bahasa di seluruh sekolah, iaitu melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris pada minggu ganjil, manakala bahasa Malaysia pada minggu genap.

Pelaksanaan Sahabat Bahasa yang bukan berkonsepkan pertandingan melibatkan semua murid untuk menggunakan kedua-dua bahasa secara santai dan mengikut minat masing-masing.

Oleh itu, Sahabat Bahasa memberikan persekitaran untuk merangsang murid meningkatkan kecekapan berbahasa menerusi amalan komunikasi yang tiada elemen paksaan.
Untuk reformasi prasekolah, kementerian telah memperluas prasekolah yang ada di sekolah, kampus IPGM dan sekolah harian serta kolej vokasional untuk memberikan peluang pembelajaran

kepada anak-anak kita.

Ada juga perancangan yang disusun untuk menyatukan prasekolah di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Agama Negeri dan Jabatan Perpaduan di bawah KPM.

Justeru, KPM bersedia memberikan latihan kepada guru-guru prasekolah ini bagi membantu meningkatkan kualiti mereka. Kita juga berusaha untuk berkongsi kurikulum bersama dengan pihak prasekolah swasta.

Kesedaran berkenaan pendidikan khas semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa yang memiliki anak istimewa. Apakah latihan yang disediakan IPGM untuk membantu guru mengajar pelajar berkeperluan khas ini?
IPGM menghasilkan guru dalam pendidikan khas masalah pembelajaran, pendidikan khas masalah pendengaran dan pendidikan khas masalah penglihatan.

Untuk memastikan pendidikan guru di kampus sesuai dengan realiti di sekolah-sekolah, kita bekerjasama dengan bahagian pendidikan khas.

Di samping itu, IPGM bekerjasama dengan badan-badan luar daripada KPM berkenaan elemen-elemen yang perlu dibawa dalam pendidikan guru pendidikan khas.

Bagaimanakah pihak IPGM mengukur kejayaan atau impak program latihan kepada siswa guru?
Selepas setahun siswa guru ditempatkan di sekolah, kami akan adakan tinjauan terhadap siswa guru.

Tinjauan ini akan dijawab oleh pihak pentadbir sekolah. Pemantauan dan penambahbaikan berterusan melalui sistem penilaian yang berstruktur serta sistematik.

Ia mengambil kira maklum balas daripada pentadbir sekolah, refleksi kendiri bakal guru, penilaian oleh penilai luar institusi seperti universiti serta badan-badan berkaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN