BARU-BARU ini, dunia dikejutkan dengan video yang tersebar di media sosial mengenai seorang wanita warga Indonesia dan anaknya yang masih bayi menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Isu keganasan rumah tangga adalah masalah serius kerana berita mengenainya sering terpapar di media massa dengan pelaku serta mangsa terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang pendidikan. Persoalannya, di manakah silapnya?
Keganasan rumah tangga adalah satu kekerasan yang berlaku dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Kekerasan merujuk kepada pembentukan tingkah laku penderaan yang digunakan oleh seseorang individu dalam rumah tangganya bagi mendapat atau mengekalkan kuasa serta kawalan terhadap pasangan intimnya.
Keganasan rumah tangga boleh juga dikatakan sebagai satu pencabulan terhadap hak asasi manusia. Kebiasaannya, wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa dalam isu keganasan rumah tangga.
Namun begitu, melihat kepada realiti semasa, lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa kepada isu keganasan rumah tangga. Jika kita lihat pada tahun lalu, berdasarkan statistik daripada pihak polis, sebanyak 5,507 kes keganasan rumah tangga dilaporkan.
Ini menunjukkan berlakunya penurunan kes pada tahun 2022 iaitu sebanyak 6,540. Namun begitu, penurunan kes ini dikenal pasti berlaku kerana masih banyak kes penderaan yang tidak dilaporkan kerana dianggap sebagai isu kekeluargaan atau peribadi.
Masyarakat perlu sedar bahawa keganasan rumah tangga bukan sahaja berbentuk memberikan kecederaan fizikal dengan memukul menggunakan anggota badan mahupun objek.
Sebaliknya, keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam beberapa bentuk, antaranya penderaan emosi iaitu mengeluarkan kata-kata kesat dengan bertujuan menjatuhkan maruah dan mengaibkan mangsa secara langsung atau secara dalam talian.
Kedua adalah penderaan seksual, iaitu menggunakan seks sebagai cara untuk mengawal dan mengaibkan mangsa. Ketiga adalah pengasingan, iaitu mengawal segala pergerakan serta menghalang mangsa daripada berjumpa ahli keluarga atau rakan-rakan.
Keempat, ugutan iaitu dengan memberikan ancaman berbentuk ugutan untuk mencederakan mangsa atau keluarga terdekat mangsa, mungkin juga mengugut untuk membunuh diri.
Kelima, penderaan ekonomi iaitu menghadkan kewangan mangsa dengan cara enggan memberikan wang perbelanjaan rumah yang mencukupi.
Keenam adalah menghendap, iaitu mengganggu mangsa melalui cara mengikut, mengganggu secara fizikal atau melalui dalam talian.
Ini merupakan beberapa bentuk keganasan rumah tangga yang boleh berlaku pada seseorang individu.
Bagi membentuk sebuah rumah tangga yang bahagia, pastinya beberapa nilai keharmonian perlu diterapkan seperti saling menghormati, bertolak ansur serta memahami.
Tanpa nilai keharmonian ini, mana mungkin rumah tangga dapat dibentuk seperti yang disarankan dalam Islam iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kebahagiaan) dan rahmah (sayang).
Malangnya, apabila sesebuah institusi kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk berlindung bertukar menjadi penjara, sekali gus mangsa berasakan dirinya terkurung, terperangkap.
Bagi membendung situasi ini, ia akan berbalik kepada diri sendiri, baik suami mahupun isteri perlu menghayati dan memahami semula tanggungjawab membina rumah tangga harmoni.
Jika dilihat dari sudut agama, kita sama sekali dilarang menganiaya atau mengasari orang lain termasuklah pasangan sendiri.
Ada sesetengah orang mungkin berfikir untuk memberikan pengajaran kepada kesilapan yang dilakukan, namun adakah tindakan itu menjurus kepada keganasan?
Islam sendiri meletakkan garis panduan dalam mendidik isteri yang derhaka iaitu dengan cara berperingkat.
Jadi, jangan biarkan diri kita dikawal oleh nafsu amarah yang boleh merosakkan pemikiran, emosi dan tingkah laku kita.
Melihat kepada situasi mangsa bagi keganasan rumah tangga ini, rata-rata mereka tidak sedar dengan situasi yang berlaku. Kitaran penderaan adalah salah satu corak tingkah laku yang sering berlaku dalam hubungan yang tidak sihat, terutamanya dalam kes kekerasan dalam rumah tangga.
Corak ini terdiri daripada beberapa peringkat berulang, sekali gus mewujudkan kitaran yang sukar diputuskan oleh mangsa.
Peringkat yang pertama ada adalah peningkatan ketegangan.
Pada tahap ini, kebiasaannya mangsa akan cuba meredakan situasi dan menuruti permintaan pelaku atau cuba mengelakkan konflik.
Pada peringkat kedua, berlakunya insiden kekerasan. Tindakan kekerasan akan berlaku sama ada fizikal, lisan, emosi, atau seksual. Pada tahap ini juga pelaku akan memuaskan dirinya dengan melihat pasangannya menjerit atau menangis.
Seterusnya, di peringkat yang ketiga dikenali sebagai fasa bulan madu. Pelaku akan meminta maaf kepada mangsa dengan menunjukkan penyesalan dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
Selain itu, pelaku akan sering kali bersikap sangat prihatin dan penuh kasih sayang seolah-olah menjadi orang berbeza sehingga boleh membuatkan mangsa memaafkan pelaku dan memberi peluang kepadanya untuk berubah.
Pada peringkat keempat iaitu tempoh ketenangan, mangsa akan cuba menafikan pemikirannya bahawa pelaku akan mengulangi perbuatan atau tidak melakukan sebarang perubahan. Justeru itu, masyarakat perlulah cakna mengenai kekerasan atau keganasan yang berlaku dalam rumah tangga.














