KEPESATAN teknologi merupakan sesuatu perubahan yang dilihat positif dan sentiasa diraikan oleh semua pihak termasuk masyarakat Malaysia.
Namun, tidak dapat dinafikan perkembangan teknologi tersebut turut menyebabkan tanggungjawab memastikan keselamatan negara menjadi lebih mencabar berbanding dekad-dekad sebelumnya.
Dalam konteks ini, aspek kesiapsiagaan digital kini menjadi antara fokus utama Kementerian Pertahanan di mana langkah itu diterjemahkan melalui usaha berfokus untuk memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dalam perolehan aset dan teknologi.
Jika diteliti, fokus itu disifatkan penting berikutan terdapat banyak penyelidikan serta bukti yang menunjukkan ancaman siber dan serangan digital mengundang kepada kemudaratan merentas aspek ekonomi, tadbir urus serta pertahanan negara.
Menurut pensyarah di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan, Universiti Utara Malaysia, Shah Mohd. Akmal Abdul Halim, tumpuan kepada keupayaan dan pengukuhan pasukan siber dalam ekosistem pertahanan sesebuah negara kini menjadi trend dan perhatian banyak pihak termasuklah negara jiran.
“Dalam hal ini, aspek keselamatan siber dan ancaman digital terus diberi tumpuan tanpa mengetepikan keperluan memodenkan aset-aset fizikal ‘tradisional’ yang lain seperti senjata dan kapal laut.
“Jika dilihat, Kementerian Pertahanan sememangnya terus menjayakan beberapa inisiatif penting dalam usaha memodenkan aset pertahanan negara,” katanya.
Usaha memodenkan aset pertahanan negara turut melibatkan usaha memastikan kelancaran perolehan tiga buah Kapal Misi Pesisir Kumpulan Kedua daripada Republik
Turkiye yang dijadualkan diterima pada tahun 2027.
Pada masa yang sama, rundingan juga sedang dimuktamadkan bagi tujuan perolehan jet pejuang FA-18 Legacy Hornet dari Kuwait bagi meningkatkan keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Katanya, usaha memodenkan aset ketenteraan juga perlu memberi tumpuan kepada proses pengukuhan secara bersepadu.
“Kewujudan sebuah armada siber yang lengkap dan berkeupayaan bakal membolehkan pasukan pertahanan negara bertindak balas dengan lebih efektif terhadap sebarang ancaman,” jelasnya.
Dalam pada itu, ATM juga perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan bakat di mana proses mengenal pasti, melatih dan membangunkan sumber manusia pintar, berbakat dan mampu berfikir di luar kotak perlu segera dilaksanakan.
“Malaysia perlu mempunyai strategi jelas dan menyeluruh dalam aspek itu memandangkan pembangunan sumber manusia sering dijadikan aspek sampingan berbanding tumpuan lain seperti perolehan aset.
“Selain itu, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan institusi penyelidikan juga perlu diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak perkongsian dibuat, seterusnya mewujudkan strategi berdepan ancaman siber,” katanya.
















