SHAH ALAM – Tempoh masa yang panjang bagi sesuatu penghantaran makanan atau barangan perlu diberikan kepada mana-mana rider agar mereka tidak terkejar dalam urusan harian.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Teik Hua berkata, ini menyebabkan sering berlaku pekerja p-hailing melanggar lampu isyarat kerana pendapatan mereka bukan tetap sebaliknya bergantung kepada sesuatu pesanan.
Katanya, ini membuatkan mereka tidak ubah seperti pemandu lori yang sentiasa mengejar trip penghantaran.
“Risiko rider ini lebih tinggi dan berkali ganda daripada penunggang motosikal lain di jalan raya.
“Jadi, perlu satu regulasi atau aturan baharu dengan campur tangan daripada kerajaan. Penghantar makanan berada dalam keadaan terdesak sama ada perlu menghantar pesanan atau memikirkan hal keselamatan mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Ahad lalu Kosmo! melaporkan mengenai nasib rider makanan yang bekerja lebih 18 jam sehari tetapi hanya mendapat pulangan RM180 sahaja sehari.
Beliau menambah, kelengkapan yang diberikan syarikat terlibat sama ada jaket dan beg juga didapati tidak menepati aspek atau fungsi keselamatan kerana tiada pantulan cahaya.
“Apabila ada reflektif dapat berikan amaran kepada orang lain atau keberadaan rider tersebut dapat dilihat daripada pelbagai sudut sewaktu di jalan raya.
“Justeru, ia bertindak isyarat penunjuk seterusnya dapat meningkatkan faktor keselamatan dalam kalangan rider pada tahap tertentu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Akademik merangkap Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Kejururawatan dan Pendidikan Universiti Mahsa, Prof. Dr. Veronica Chua Poh Choo memaklumkan aktiviti menunggang motosikal terlalu lama tidak dapat menyebabkan slipped disc.
Bagaimanapun, tegas beliau, ia boleh mengakibatkan sakit belakang ekoran otot belakang terlalu menegang terlalu lama.
“Penghantar makan mungkin turut berisiko mengalami masalah pernafasan susulan pendedahan yang berpanjangan kepada pencemaran lalu lintas,” katanya.
Veronica turut menjelaskan adalah wajar bagi penghantar melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi menilai tahap kesihatan mereka.
“Meskipun tiada undang-undang mensyaratkan sedemikian, namun saya percaya perlu memantau dan mengesan perubahan pada kesihatan mereka pada peringkat awal,” katanya.














