SHAH ALAM – Menunggang motosikal sehingga 18 jam lamanya di atas jalan raya dengan jarak keseluruhan sejauh lebih 200 kilometer (km) hampir setiap hari demi meraih pendapatan harian sebanyak RM180.
Dari muka 1
Itu pengorbanan penghantar makanan atau rider yang terpaksa bertarung nyawa di atas jalan raya sehingga menyebabkan ada antara mereka terlibat kemalangan dan stres kerana tidak cukup tidur serta terlampau letih.
Perkara itu diakui sendiri seorang rider, Muhamad Hafiz Fahmi Mohd. Zaini, 26, bahawa kudrat dan semangat yang tinggi diperlukan terutama berdepan cabaran perubahan iklim ketika ini seperti hujan lebat.
Katanya, demam dan pening adalah perkara biasa dalam mencari sesuap nasi untuk keluarga.
“Kalau tak kerja, tiada hasil pendapatan. Jadi, hendak bagi anak dan isteri makan apa dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Lagipun tahap pendidikan saya tidak tinggi. Ini sahaja kerja yang mampu saya lakukan dan boleh dapat hasil pendapatan yang agak lumayan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Muhamad Hafiz berasal dari Rantau Panjang, Klang itu turut memaklumkan ada masanya dia bekerja sehingga 18 jam sehari dengan meraih pendapatan bersih sehingga RM180.
Katanya, kadangkala dia terpaksa tidur di atas motosikal di tepi jalan sekiranya terlampau keletihan.
“Saya juga terpaksa ‘melepaskan’ memori melihat anak-anak membesar di depan mata sebab banyak masa saya dihabiskan di atas motosikal.
“Jika ada waktu terluang, saya buat panggilan video dengan isteri dan anak tunggal saya berusia tujuh bulan,” ujarnya.
Bagi seorang lagi rider, Jailani sahaji, 35, botol minyak panas atau minyak angin menjadi peneman setia untuk disapu di bahagian pinggang ketika sakit akibat tunggangan yang terlalu lama di atas motosikal.
Dia yang berasal dari Inanam, Sabah berkata, lambakan rider membuatkannya perlu kuat dalam bersaing bagi menyara isteri serta tiga anaknya berusia 2 bulan hingga 11 tahun.
“Orang nampak mudah, tapi kami berdepan pelbagai risiko dan ada rider yang maut ketika menjalankan tugas mereka.
“Kemalangan tidak dapat dielakkan meskipun kadangkala telah berhati-hati,” ujarnya.
Menurut Mohammed Aizat, 33, pula, setiap rider mempunyai matlamat dan pendapatan yang ingin dicapai setiap bulan membuatkan mereka tidak kisah bersengkang mata sehingga lewat pagi.
Tambahnya, dia meraih pendapatan kasar sebanyak RM5,000 sebulan dengan bekerja selama 16 jam.
“Syukur alhamdulillah, isteri memahami dan turut membantu dengan bekerja sambilan sebagai pengasuh.
“Meskipun sibuk dalam urusan penghantaran, saya tetap utamakan keselamatan diri termasuk mencarum skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara sendiri,” ujarnya.
Seorang lagi penghantar makanan, Mazizul Helmy, 24, pula memilih waktu bekerja bermula pukul 7 petang sehingga 7 pagi setiap hari.
“Dalam sehari, saya menunggang motosikal hampir 230km dengan jarak sehala paling jauh pernah dibuat adalah kira-kira 55km dari Shah Alam hingga Kuala Selangor.
“Setahun sudah berkecimpung dalam dunia kerja ini dengan memperoleh untung bersih hingga RM130 setiap hari,” katanya yang masih bujang.














