PERKEMBANGAN teknologi tenaga kepada produk lain (Power to X) telah memperlihatkan pelbagai inovasi termasuk menggunakan tenaga baharu seperti solar atau angin.
Sumber tenaga itu digunakan bagi penukaran gas karbon dioksida (C02) dengan gabungan hidrogen kepada produk lain seperti gas metana (CH4), methanol dan lain-lain.
Teknologi itu dilihat dapat menyelesaikan masalah pembebasan gas karbon dioksida ke dalam alam sekitar selari dengan polisi Net Zero Barbon by 2050.
Melihat kepada potensi tenaga angin, penyelidik dan pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultam Abdullah (UMPSA),
Ts. ChM. Dr. Ahmad Zamani Ab. Halim, tampil dengan inovasi formulasi bahan pemangkinan DECO2X.
Ujarnya, DECO2X dihasilkan dengan gabungan beberapa metal oksida yang mempunyai kawasan aktif bagi menukarkan CO2 kepada CH4.
“Penyelidikan ini telah bermula sejak tahun 2018 hingga 2022.
“Saya mendapat idea untuk menjalankan penyelidikan ini bermula daripada peningkatan gas CO2 ke alam sekitar yang menyebabkan kesan rumah hijau seperti pemanasan iklim dan cuaca tidak menentu.
“Tambahan pula, bahan api petroleum dilaporkan semakin berkurang dan memerlukan bahan api lain daripada sumber tenaga baharu yang kemudian membawa kepada formulasi bahan aktif pemangkinan DECO2X.
“Ia dihasilkan dengan gabungan metal oksida yang boleh beroperasi pada suhu rendah,” katanya.
Tambahnya, CH4 yang dihasilkan boleh disalurkan kepada paip natural gas grid untuk menambahkan lagi komposisi gas itu dan tidak hanya bergantung kepada sumber petroleum.
Kongsinya lagi, gas CH4 juga boleh digunakan sebagai bahan api kenderaan, untuk memasak dan sebagai bahan pembakaran steam turbine generator untuk penghasilan elektrik.

Kajian tersebut telah dijalankan bersama dengan Prof. Dr. Mohd. Hasbi Ab. Rahim dan Prof. Ts. Dr. Gaanty Pragas daripada FSTI.
“Secara ringkasnya, DECO2X adalah bahan mangkin yang telah diformulasi dengan beberapa metal oksida.
“Mangkin ini mempunyai bahan aktif yang dapat menukarkan gas CO2 dengan campuran hidrogen kepada gas CH4 pada suhu yang rendah <250 darjah Celsius (kebiasaannya suhu 350 darjah Celsius).
“Ia dapat menukarkan antara 85-90 peratus CO2 kepada CH4,” ujarnya.
Katanya lagi, mangkin itu stabil dan tidak mempunyai masalah mendakan karbon di permukaan.
Selain suhu operasi rendah, ia hanya beroperasi pada tekanan normal 1bar dan matlamat kajian itu supaya mangkin boleh diaplikasi kepada semua industri yang membebaskan gas karbon dioksida dengan hasrat zero pembebasan C02 selari dengan polisi Net Zero Carbon by 2050.
“Kami berhasrat untuk bekerjasama dengan industri yang banyak membebaskan C02 seperti industri loji tenaga, minyak dan gas bagi aplikasikan bahan mangkin ini.
“Aplikasi mangkin DECO2X kepada teknologi tenaga kepada produk (Power to x) dapat memberi manfaat kepada industri untuk mengurangkan pembebasan karbon.
“Selain itu, industri dapat manfaat daripada inisiatif kerajaan mengenalkan cukai carbon (carbon tax),” kongsinya.
Jelasnya lagi, aplikasi mangkin DECO2X kepada teknologi tenaga dan seterusnya kepada produk ternyata memberi manfaat kepada industri untuk mengurangkan pembebasan karbon.
Selain itu, industri mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan mengenakan cukai carbon.
“Saya juga sebelum ini pernah menghasilkan produk lain.
“Antaranya, sistem naik taraf gas natural baharu (biogas) daripada sisa makanan, bahan mangkin untuk dry reforming gas metana kepada syngas serta penghasilan graphene daripada sumber sisa pepejal kelapa sawit.
“Produk ini juga pernah meraih pingat emas pada Pertandingan Creation, Innovation, Technology and Research Exposition 2022.
“Sementara itu, di International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2023 pula ia berjaya merangkul pingat perak,” katanya.














