MARAN – Tiga termasuk ibu dan anak maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka di sini hari ini.
Mangsa yang maut ialah dua beranak iaitu Noraini Ali ,42, dan Aufa Medina Azuan,7, yang menaiki kenderaan jenis Perodua Alza manakala seorang lagi mangsa yang maut ialah penumpang hadapan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza iaitu Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim,13.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu berlaku ketika kenderaan jenis Perodua Alza dipandu seorang wanita membawa seorang penumpang kanak-kanak dalam perjalanan dari arah bandar Jengka menghala ke bandar Maran.
“Apabila sampai di lokasi kejadian kenderaan jenis Toyota Avanza dipercayai masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan jenis Perodua Alza.
“Dalam masa sama datang kereta jenis Perodua Myvi dari arah bandar Jengka menghala ke bandar Maran tidak sempat mengelak dan melanggar Toyota Avanza yang sedang melintang di tengah jalan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya akibat kejadian pemandu kenderaan jenis Perodua Alza dan penumpang hadapan kenderaan jenis Toyota Avanza meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan Perodua Alza meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Jengka di sini.
Katanya, kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Jengka dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Katanya siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik dengan permukaan jalan sedikit basah selepas hujan. – KOSMO! ONLINE