fbpx
Gambar hiasan

Antara tangis, tawa dan tadabbur…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bulan Ogos bukanlah bulan kemerdekaan negara Malaysia sahaja. Banyak negara sebenarnya yang meraih kemerdekaan pada bulan ini termasuk India (15 Ogos), Pakistan (14 Ogos), Korea Selatan (15 Ogos), Indonesia (17 Ogos) dan Singapura (9 Ogos).

Macam-macam ragam diisi sempena bulan kemerdekaan. Baru-baru ini, di Indonesia sempena menyambut ulang tahun kemerdekaan negara mereka, sebuah kampung telah mengadakan pertandingan ‘lumba menangis’ sehingga tular ke Malaysia. Dikongsikan di TikTok dan portal-portal, aksi penduduk kampung tidak kira jantina mahupun usia itu yang beradu menangis bertukar menjadi hal yang mengundang tawa.

Pertandingan menangis tersebut mendapat sambutan hangat penduduk kampung. Ada yang menangis secara senyap dan tertunduk, ada yang meraung semahu-mahunya serta sempat berborak sehingga orang yang melihat tersenyum dan tidak kering gusi.

“Mereka nangis, kenapa kita yang ketawa? Macam mana nak tahu pemenang? Sukat air mata?” usik netizen.

Sememangnya bila menyentuh tentang kemerdekaan, ia menggambarkan emosi yang berbaur. Pada hemat penulis, tidak ada salahnya menangis atau bersuka ria memandangkan ia perasaan terkait dengan kemerdekaan.

Tangisan itu melambangkan ratapan pemergian pejuang terdahulu atau mengimbau kepahitan hidup dalam jajahan, manakala bergembira pula kerana berakhir sudah cengkaman dan mensyukuri kebebasan.

Bagaimanapun, dalam apa-apa hal pun tidak sesuai untuk berlebih-lebihan dalam bersedih mahupun bergembira. Kata orang, tangisan air mata darah pun takkan merubah apa-apa dan suka-suka lama jadi duka.

Mungkin ada cara lain yang lebih baik untuk kita mengisi kemerdekaan ini. Antaranya ialah dengan mengikuti Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung esok selama 1 jam. Membaca al-Quran dan mentadabbur isi kandungannya tentu satu hal yang baik untuk kita raikan hari kemerdekaan berlandaskan panduan ayat suci.

Tadabbur bermaksud menghayati, merenung dan memikirkan ayat-ayat suci al-Quran dalam usaha untuk memahami makna, maksud dan pengajaran di sebaliknya.

Ambillah kesempatan untuk sama-sama menyertai gelombang membaca al-Quran di seluruh Malaysia itu yang bersiaran langsung dari lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya dari pukul 10 pagi hingga 11 pagi esok, sehari menjelang Hari Kemerdekaan.

Malaysia #QuranHour kali ke-10 ini bertemakan Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara dengan berpandukan Surah Al-Jumu’ah dan Al-Hujurat bertujuan memperkukuh perpaduan dan keharmonian rakyat melalui penghayatan Rukun Negara dan nilai-nilai murni.

Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara membawa maksud bebas daripada perhambaan terhadap sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah SWT.
Difahamkan, program yang bersiaran di beberapa saluran TV itu akan ada ustaz selaku pentadabbur.

Surah Al-Jumu’ah menjadi panduan untuk mengangkat nilai-nilai murni dalam agama Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Al-Hujurat yang disinonimkan dengan akhlak dan adab antaranya menjadi solusi pembinaan peradaban diri untuk mencapai kesejahteraan rakyat serta negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN