ISTILAH ‘mata lalat’ yang ditakrifkan oleh orang-orang tua dahulu sangat bertepatan dengan serangga pengotor yang dikenali lalat yang hanya menggunakan nikmat matanya hanya untuk melihat najis dan sampah.
Dan istilah tersebut sebenarnya mempunyai lawannya iaitu ‘mata tebuan’ yang ditakrifkan pula dengan binatang berbisa itu dengan menggunakan nikmat penglihatan untuk melihat benda-benda indah.
Kedua-dua istilah ini sebenarnya amat mendalam jika diamati dan diterokai nikmat bahasa Melayu yang ditinggalkan oleh orang-orang lama untuk difahami dan dipraktikkan oleh kita golongan yang beruntung.
Lalat, dengar sahaja namanya sudah kita dapat bayangkan bagaimana rupa, perangai dan rasa menyampah kita kepadanya. Bayangkan sahaja ketika di tong sampah bunyinya sahaja sudah membuatkan kita rasa tidak senang.
Sikap lalat yang suka mencelah ketika kita bekerja juga amat merimaskan, ibarat seperti di sekolah ada sahaja pengawas yang suka cari kesalahan orang.
Budaya Melayu misalnya amat halus dalam memberi maksud atau menegur bangsanya dengan istilah-istilah, bidalan, peribahasa mahupun gurindam kerana sejak dahulu lagi buktinya masyarakat kita sudah ada sikap seperti lalat.
Teguran yang diselitkan dalam bahasa Melayu ternyata amat lembut dan mempunyai maksud yang mendalam agar si pelaku tidak terasa dan terguris hati kerana budaya Melayu amat menjaga soal adab.
Adab yang dimaksudkan dalam budaya Melayu adalah tentang perilaku seseorang yang harus dijaga tidak seperti yang diibaratkan seperti lalat, kerana dengan suka mencari salah orang boleh terlondeh salah sendiri.
Tidak habis di situ, orang Melayu turut menggunakan subjek ‘kain’ dalam satu peribahasa ‘jangan jaga tepi kain orang’ yang turut mempunyai maksud yang sama. Tapi persoalannya kenapa peribahasa itu menggunakan ‘kain’?
Mungkin tafsirannya adalah kerana kain merupakan satu barang yang lembut serta meleret jika dijadikan kain sarung labuh sehingga menyeret ke lantai menyapu segala sampah yang ada.
Dengan kita sibuk menegur kain sarung labuh itu tadi menyeret sampah, kain sarung yang dipakai kita juga meleret ke bawah, namun lebih teruk lagi apabila kain sarung kita menyapu najis di lantai.
Jika dilihat dan difahami apa yang ditafsirkan dengan keindahan bahasa Melayu ini. Boleh kita simpulkan bahawa bangsa Melayu juga tidak sukakan tentang sikap negatif yang sedang menjadi masalah mungkin dihadapi oleh semua orang tidak kira di mana-mana.
Jika dilihat dari sudut agama juga, Islam menegah dan ada hukum khas kepada golongan ini, seperti apa yang telah dijelaskan oleh pendakwah selebriti, Ustaz Azhar Idrus dalam salah satu siri ceramahnya, manusia jika mempunyai hati yang kotor, maka dia akan suka cari keburukan orang lain.
“Dia senang sahaja untuk kita tahu bagaimana hati kita, jika kita suka cari keburukan orang, maka hati kita sangat kotor, kalau kita hati bersih, kita tidak akan suka cari keburukan orang. Berdosa hukumnya.
“Memang itu yang banyak berlaku, kalau kita tengok orang-orang tua di kampung, mereka akan suka dengar pasal cerita keburukan orang, kalau cerita biasa mereka tidak akan layan, mereka mahu sensasi padahal benda tiada apa pun.














