KUALA LUMPUR – Duta Besar Indonesia ke Malaysia mendedahkan hampir setiap hari pihaknya menerima laporan mengenai amah dari negaranya yang didera dan dieksploitasi secara tidak berperikemanusiaan di negara ini.
Menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai situasi itu kepada Kosmo! Ahad, Datuk Indera Hermono berkata, selain dipukul dan diseterika, lebih menyedihkan lagi apabila ada amah yang dibuang begitu sahaja di tepi jalan.
Kata beliau, pihaknya juga pernah menerima laporan amah tidak dibayar gaji sehingga 19 tahun oleh majikan mereka.
“Kami sering menerima aduan daripada pembantu rumah, tetapi tidak semuanya kes besar, yang terakhir adalah 19 tahun tidak dibayar gaji. Ada yang didera sampai kurus dan dibuang di tepi jalan.
“Ada juga yang badan diseterika segala macam dan kes dilaporkan oleh media. Presiden baharu Indonesia, Pak Prabowo ambil berat isu seperti ini,” katanya dalam nada serius ketika ditemui di Kedutaan Besar Indonesia, di sini baru baru ini.
Hermono memberitahu, isu ketidakadilan terhadap pembantu rumah Indonesia masih berlaku sehingga kini apabila kebanyakan kes yang dibawa ke muka pengadilan, hasilnya agak mengecewakan dengan pelakunya ada yang terlepas begitu sahaja.
“Ya, ada bawa kes (ke mahkamah), ada kes lama yang tidak selesai seingat saya berlaku pada 2015 dan baru-baru ini disidangkan tentang kes pembantu rumah Indonesia iaitu Mariance Kabu yang didera, lidah dipotong, gigi dicabut luka di seluruh tubuh dan kita bawa ke mahkamah.
“Jaksa putuskan isu ini bukan isu dera, tetapi isu pemerdagangan dan isu imigresen, saya tulis surat kepada AG (Peguam Negara) dan menyatakan saya tidak gembira, pengalaman kita apabila masuk trafficking kita akan kalah dan sukar untuk memenangkan.
“Bahaya jika berlarutan, jangan sampai tunggu Prabowo marah, Prabowo ambil berat akan isu-isu perlindungan dan dia mempunyai nasionalisme yang sangat tinggi sebagai seorang bekas tentera,” tegas beliau.
Kata beliau, Prabowo amat prihatin dengan nasib amah dari Indonesia sehingga keluarkan duit kocek sendiri untuk membiayai bayaran guaman di mahkamah seperti dalam satu kes pada 2014 atau 2015 yang melibatkan Wilfrida Soik yang dituduh membunuh majikannya.
Ketika itu kata Hermono, Prabowo belum lagi memerintah, tetapi melantik peguam termahal di Malaysia iaitu Tan Sri Shafiee Abdullah untuk membela Wilfrida Soik menggunakan wangnya.
“Hasilnya, Wilfrida Soik tidak dihukum mati dan sudah pulang ke Indonesia kerana dia melakukan itu sebab masalah mental dan dirawat di sebuah rumah sakit jiwa,” ujarnya.
Beliau berkata, pihak kedutaan mahu pihak berkuasa negara ini memberi layanan yang adil terhadap aspek kebajikan terutama melibatkan kes-kes penderaan yang dibawa ke mahkamah selama ini.
“Saya berharap kalau isu pembantu rumah ini selesai dan tidak ada lagi kes-kes yang kita panggil isu yang menarik perhatian awam semacam penderaan itu, saya kira hubungan Malaysia-Indonesia akan jauh lebih baik,” katanya. -KOSMO! ONLINE














