BEBERAPA minggu lalu, netizen ‘disajikan’ dengan pelbagai kisah pergolakan rumah tangga sehingga ada yang mengaibkan pasangan sendiri di media sosial.
Si suami menuduh isteri kuat berleter dan menghabiskan banyak masa live di media sosial, manakala si isteri pula menuduh suami malas bekerja dan hanya mengharapkan ‘duit’ daripada isteri.
Malah, ada juga pasangan yang berkahwin ramai mengutuk serta membuka aib bekas isteri dan ‘madu’ mereka termasuk perbuatan dalam bilik tidur.
Terdetik di hati penulis, manusia zaman sekarang sudah tiada rasa malu ke sehingga semua benda dalam rumah tangga mahu dicanang dalam media sosial?
Di mana sifat pemalu masyarakat kita terutamanya orang Melayu Islam yang selama ini penuh dengan adat ketimuran. Kenapa jadikan media sosial tempat mengadu, sedangkan agama kita mengajar supaya mengadu pada Allah.
Bagi penulis, ‘mengadu domba’ di media sosial hanyalah memburukkan lagi keadaan rumah tangga yang bergolak dan perbuatan itu ditegah dalam agama.
Memetik perkongsian penceramah selebriti Ustaz Azhar Idrus dalam satu sesi kuliahnya di sebuah masjid sebelum ini, beliau berkata, setiap pasangan suami atau isteri mestilah menjaga pekung masing-masing meskipun pada akhirnya memilih jalan perpisahan.
“Mana boleh cerita buruk orang lain. Sebab orang yang paling banyak tahu rahsia kita ialah isteri kita. Orang yang paling banyak tahu rahsia isteri ialah suami.
“Sebab itu dalam Islam bila bercerai, jangan cerita buruk pasal bekas isteri dan jangan cerita dekat orang tentang keburukan bekas suami kita. Haram dosa besar,” ujarnya.
Bagaimanapun, bagi kes-kes rumah tangga yang mempunyai unsur jenayah atau yang perlu diselesaikan secara adil, maka dibolehkan untuk suami atau isteri mendedahkan tentang keburukan pasangan mereka.
“Kita hanya boleh cerita aib orang untuk maslahat iaitu untuk pengadilan di mahkamah, untuk laporan polis, untuk kes-kes suami isteri di pejabat kadi.
“Dalam pengaduan kepada pihak berkuasa kita boleh bercerita walaupun mengaibkan dia. Sebab ia adalah kes jenayah. Itu pun tak boleh ditambah-tambah,” tegasnya.
Dalam pada itu, penceramah bebas Ustaz Mohamad Muhaimin Mohamad Zaki berkata, dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Mereka (isteri-isterimu) merupakan pakaian bagimu dan kamu merupakan pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah, ayat 187)
Katanya, ayat itu mengisyaratkan, suami atau isteri adalah pakaian yang sepatutnya dijaga dengan cermat dan menutupi hal peribadi agar tidak diketahui orang lain.
“Jika seorang suami atau isteri mudah mendedahkan aib pasangannya, tanpa sedar mereka membiarkan diri seolah-olah tanpa berpakaian.
“Sepatutnya, suami dan isteri perlu saling menjaga kekurangan diri kerana di sebalik kekurangan itulah yang akan melengkapkan kehidupan antara dua insan yang dihalalkan melalui perkahwinan,” katanya.
Hakikatnya, setiap masalah pasti boleh diselesaikan dan Allah takkan uji seseorang melainkan seseorang itu mampu menghadapi ujian tersebut.
















