DALAM usaha memuliharaan ekosistem marin dan pemerkasaan komuniti, Management and Science University (MSU) melalui International Medical School (IMS) telah mengorak langkah signifikan menerusi pelancaran projek MyCoral Community Diver (MCCD) baru-baru ini.
Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada aktiviti MyCoral Eco Marine Project itu telah berlangsung di Nelayan Resort dan Taman Laut Pulau Redang, Terengganu.
Tujuan utama MCCD adalah untuk memelihara terumbu karang dan menyokong komuniti tempatan khususnya para nelayan di Setiu.
Menurut Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) IMS di MSU, Mohd. Hairulnizam Ibrahim, projek MCCD telah mendapat sokongan dalam bentuk geran bernilai RM40,000 daripada APPGM-SDG Income Generation.
“Ia bermatlamat untuk memperkasakan komuniti tempatan terpilih yang terdiri daripada nelayan dan keluarga, pelajar, pengusaha bot, penyelam skuba bertauliah serta pakar pemulihan karang.
“Projek ini juga bertujuan untuk mendidik, menjana pendapatan dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pemuliharaan terumbu karang,” ujarnya.
Para peserta telah menjalani program latihan 12 modul komprehensif yang meliputi teknik selam skuba, kaedah pemuliharaan karang, pemasaran digital dan celik kewangan.
Melalui lesen selam skuba dan menguasai teknik pemulihan karang, para peserta bakal menjana pendapatan melalui pakej ekopelancongan dan pemuliharaan terumbu karang.

Ini sekali gus dapat memupuk kelestarian ekonomi dalam kalangan komuniti setempat.
Projek MyCoral Community Diver turut melibatkan kerjasama pintar MSU dengan Jabatan Perikanan Malaysia, Dorken Reef Resources, RAH Venture, dan Persatuan Nelayan Kawasan Setiu.
Usaha ini bagi memastikan pendekatan holistik terhadap pemeliharaan terumbu karang dan kelestarian ekosistem marin serta pembangunan holistik komuniti setempat.
MyCoral Eco Marine Project merupakan aktiviti bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan terumbu tiruan.
Ujar Mohd. Hairulnizam, sebagai program pemindahan pengetahuan, ia bertujuan untuk memperkasakan ekosistem marin serta membantu komuniti nelayan Pulau Redang.
“MyCoral Eco Marine Project bakal memasuki edisi 7.0 pada tahun ini, sejak ia bermula pada 2016.
“Ia melibatkan strategi pelaksanaan secara menyeluruh MSU dalam pemuliharaan terumbu karang.
“Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan populasi terumbu karang khasnya di Malaysia.
“Pada masa sama, program ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG),” ujarnya.
















