SELASA lalu, Yahya Sinwar diumumkan sebagai ketua biro politik Hamas menggantikan Allahyarham Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan Israel di Tehran, Iran.
Berusia 61 tahun, Sinwar merupakan ketua pergerakan itu yang menguasai wilayah Semenanjung Gaza. Beliau pernah dipenjarakan oleh Rejim Zionis kerana perjuangannya membebaskan wilayah Palestin daripada dijajah Israel.
Pengumuman itu dibuat kurang seminggu selepas Haniyeh, 62, gugur dalam kejadian letupan di sebuah rumah tetamu di ibu negara Iran pada Rabu minggu lalu.
Terdapat dua teori mengenai pembunuhan Haniyeh. Pertama, media Barat melaporkan bahan letupan telah disembunyikan di bilik penginapan pemimpin Hamas itu sebulan sebelum lawatannya ke Tehran.
Menurut satu laporan lain, musuh melepaskan tembakan misil jarak dekat ke arah penginapannya.
Kedua-dua cara pembunuhan itu bagaimanapun agak mustahil dilakukan tanpa bantuan individu yang menjadi tali barut. Ketika kejadian, pejuang pembebasan Palestin itu berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.
Haniyeh terkorban ketika Israel masih menyerang Semenanjung Gaza sehingga mengakibatkan lebih 39,000 penduduk Palestin terbunuh, manakala lebih 90,000 lagi cedera sejak 7 Oktober tahun lalu.
Pembunuhan itu juga menimbulkan spekulasi apabila terdapat sumber memberitahu media Amerika Syarikat (AS) bahawa beliau terkorban akibat bom yang diseludup masuk ke dalam rumah tamu tersebut.
Bagaimanapun, Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa bahawa peluru berpandu jarak dekat yang membunuh Haniyeh dan mempunyai hulu peledak kira-kira 7 kilogram.
Iran turut berjanji untuk melakukan serangan ke atas Israel susulan kejadian itu sehingga menyebabkan tentera AS melakukan persiapan untuk melindungi negara haram tersebut.
Namun, sehingga kini, Tel Aviv masih enggan bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.
Sebenarnya, Israel telah dikaitkan dengan pembunuhan ramai pemimpin Palestin sejak dari 1973 lagi apabila pasukan komando Tel Aviv pimpinan Ehud Barak yang pernah menjadi Perdana Menteri membunuh tiga anggota Barisan Pembebasan Palestin (PLO) di sebuah apartmen di Beirut, Lebanon.
Pasukan tentera Israel itu membunuh Kamal Adwan yang mengetuai operasi PLO di Tebing Barat, Mohammed Youssef Najjar iaitu anggota jawatankuasa eksekutif PLO dan Kamal Nasser selaku jurucakap PLO merangkap penulis serta pemuisi hebat.
Ketika itu, PLO yang ditubuhkan pada 1964 merupakan pertubuhan pembela penduduk Palestin yang berpengaruh sebelum kewujudan Hamas pada 1987.
Selepas 1987, ramai pemimpin Hamas dibunuh oleh Israel seperti Sheikh Ahmed Yassin yang berkerusi roda dan penggantinya, Abdel Aziz Rantisi selain pemimpin kumpulan Jihad Islam.
Secara lojiknya, kesemua yang dibunuh itu ialah para pemimpin yang memperjuangkan kemerdekaan Palestin dan tidak ada negara lain mempunyai sebab untuk membunuh mereka.
















