PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan kawasan desa dan luar bandar tidak akan terus ketinggalan dalam arus pembangunan, baik dari segi kesejahteraan penduduk, ekonomi serta penyediaan infrastruktur bersesuaian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain pembangunan fizikal, kerajaan juga perlu mengambil kira soal pembangunan minda dan sikap penduduk di kawasan itu.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penyelarasan pembangunan di kawasan desa dan luar bandar adalah perlu, memandangkan liputannya merangkumi 47 peratus pada masa kini.
“Kami tidak menolak kemungkinan kawasan desa dan luar bandar ini akan mengecil sekitar 25 peratus sahaja menjelang 2050 kerana faktor urbanisasi dan migrasi.
“Kita tahu dalam tempoh satu dekad ini, jumlah migrasi dan urbanisasi akan berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Negara 2024, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, simposium dengan kerjasama pintar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu tepat pada masanya selaras bagi meningkatkan lagi persiapan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, hasil perbincangan dan dapatan dalam simposium ini bakal memberi input mendalam bagi penghasilan Dasar Perancangan Fizikal Luar Bandar Kebangsaan 2030, Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, dan juga penyusunan Rancangan Malaysia ke-13.
“KKDW telah membelanjakan RM10.49 bilion antara 2020 hingga 2024, bagi memastikan pembinaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan juga kemudahan sosial untuk kampung-kampung orang Asli dan kawasan pendalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE