fbpx
Norazimah menyusun tudung di kedainya sementara menunggu kedatangan pelanggan.

Rantau Panjang lesu, ramai pilih pergi Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Kawasan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini yang terkenal sebagai s­yurga beli-belah dalam kala­ngan pelancong suatu ketika dahulu dilaporkan lengang sejak beberapa bulan lalu.

Keadaan itu menyebabkan pendapatan peniaga di kawasan tersebut terjejas kerana mereka hanya menerima pelanggan pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Peniaga pakaian, Sulaiman Mohamad, 48, berkata, kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia berbanding bath dipercayai mendorong kepada kekurangan pelanggan di kawasan tersebut.

“Kebanyakan barang jualan diambil dari Thailand. Jadi peniaga terpaksa menaikkan harga barangan masing-masing. Biasanya kalau ada pelanggan pun, mereka hanya singgah di sini untuk makan di kedai dan warung,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Sulaiman mengakui harga barang seperti kelengkapan dapur, pakaian, buah-buahan dan makanan naik sedikit berban­ding sebelum ini ekoran faktor ketidaktentuan mata wang tersebut.

Antara faktor lain yang dikesan adalah kerana rakyat Malaysia kini dilihat cenderung untuk berkunjung atau melancong ke selatan Thailand berbanding membeli-belah di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang.

“Keadaan itu juga menyebabkan kawasan ini lengang dan sunyi. Pelancong lebih berminat ke selatan Thailand kerana harga barangan di sana jauh lebih murah,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga pakai­an, Norazimah Abdul Ghani, 35, memberitahu, dia turut me­nerima tempias apabila jualan tudung dan pakaian di premisnya merosot sehingga terpaksa menggunakan platform jualan secara dalam talian untuk menarik pembeli.

“Tidak ramai pelancong datang ke sini sejak awal tahun ini. Untuk menampung kos, saya beralih kepada bisnes online,” kata wanita itu.

Seorang peniaga kelengkapan sukan, Mat Yakob Deraman, 52, pula berkata, dia tetap membuka premis di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang kerana sudah menjadi rutin hariannya sejak 20 tahun lalu.

“Saya sudah biasa membuka kedai meskipun tiada pelanggan kerana ini satu-satunya pekerjaan saya sejak sekian lama. Memang sedih memikirkan nasib peniaga di kawasan ini yang terjejas kerana ketiadaan pelanggan.

“Kami bernasib baik pada hari Sabtu dan cuti sekolah kawasan ini akan ‘hidup’ semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN