GALAK berkongsi tanpa ada batasan. Sepertinya itu situasi yang berlaku hari ini dalam kebanyakan medium podcast.
Pada dasarnya, podcast yang sepatutnya menjadi ruang perdebatan atau perkongsian mengenai pelbagai topik yang mampu memberi impak positif terhadap penonton.
Namun, hari demi hari, ketika trend podcast mula meledak, semakin ramai pengguna yang tersasar daripada tujuan utama medium tersebut khususnya golongan selebriti dan pempengaruh media sosial.
Masakan tidak, hampir setiap hari ada sahaja cerita dalam kain mahupun aib sendiri yang dibuka oleh empunya badan.
Paling mengejutkan baru-baru ini apabila Shuib mendedahkan pernah menjadi ‘tahi judi’.
Barangkali mahu memberi pengajaran, tetapi tanpa sedar melondehkan aib sendiri.
Mungkin bukan semua podcast yang sebegitu, tetapi majoritinya memilih untuk mengorek semula segala kisah silam yang ada sesetengahnya tidak perlu didedah kepada umum pun.
Ada juga berpendapat apa yang dilakukan itu semata-mata ingin mengejar viral bagi membuatkan siaran podcast mereka menjadi bualan ramai dan mendapat tontonan tinggi.
Pengurus Kanan Unit Syariah & Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Ustaz Ahmad Husni Abd. Rahman berkata, medium podcast sepatutnya menjadi ruang umum berkongsi pengalaman atau pandangan tentang sesebuah isu dan bukan sebaliknya.
Menurutnya, membuka aib tanpa sebarang tapisan tidak seharusnya berlaku seperti yang dilakukan segelintir selebriti dan figura awam hari ini.
“Kalau peluang podcast itu digunakan bagi mencungkil rahsia, mendedahkan cerita, aib apatah lagi kisah dalam kain yang sewajarnya disimpan dan disorokkan daripada pengetahuan umum.
“Maka ini termasuk dalam perkara yang dilarang dalam Islam. Allah SWT melarang perbuatan mengintip aib dan perkara rahsia orang lain,” katanya.
Tambah Ahmad Husni, perkara berkaitan hal intim suami isteri dan aib sendiri tidak seharusnya dikongsi kepada umum apatah lagi untuk mengejar viral.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki memberitahu, kalau digunakan ke arah kebaikan, maka akan bawa semua kepada hal positif dan sebaliknya.
“Kalau kita guna ke arah kemaksiatan, maka buruklah impaknya kepada hal negatif.
“Tiada larangan pun hendak aktif dan terlibat dalam siaran podcast, tetapi janganlah sampai membuka aurat, mendedahkan segala aib, kelemahan diri atau keburukan rumah tangga sendiri.
“Hukum melakukan perkara tersebut adalah haram,” kongsinya.
Ujarnya lagi, hos mahupun tetamu sesebuah poscast haruslah berpada-pada dalam mengupas dan berkongsi tentang sesuatu isu terutama melibatkan keluarga serta diri sendiri.
“Sewajarnya setiap kandungan podcast perlu ditapis terlebih dahulu kemudian barulah disiarkan untuk tontonan umum.
“Jangan siarkan dengan kandungan yang buka aib diri dan keluarga kerana mampu membawa kerosakan berpanjangan.
“Sebaik-baiknya, setiap siaran podcast haruslah mengikut landasan syarak supaya setiap aib tidak terbuka dengan mudah,” katanya lagi.
















