ISTIADAT Pertabalan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) lazimnya diadakan setiap lima tahun bagi meuar-uarkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai seorang ketua negara yang baharu mengikut sistem penggiliran beraja.
Seseorang raja yang telah dipilih untuk memegang jawatan YDPA akan mengangkat sumpah terlebih dahulu, sebelum diikuti dengan istiadat pertabalan mengikut tarikh diperkenankan oleh baginda.
Uniknya, Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan Sistem Penggiliran Raja (Rotating Monarch), di mana tempoh pemerintahan seseorang raja itu adalah selama lima tahun mengikut Jadual Ketiga Perlembagaan dan Peraturan Majlis Raja-Raja.
Salah satu kriteria utama Sistem Demokrasi Berparlimen adalah mengikut pembahagian kuasa primer kepada tiga iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif (pentadbiran).
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan, maka diperuntukan oleh perlembagaan Institusi YDPA Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja.
Raja-Raja Melayu diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing.
Maka, sistem penggiliran jawatan YDPA dan Raja Permaisuri Agong (RPA) pada setiap lima tahun dianggap sebagai sesuatu yang unik.
Ia menggabungkan tradisi feudal berasaskan keturunan serta berkonsepkan moden dan mengikut perlembagaan negara ini.
Ekoran itu, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara untuk mengetuai negara ini.
Sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja (DPBD), Istana Negara, tugas saya amat signifikan dalam memastikan semua aspek pengurusan dan pentadbiran Istana Negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Tumpuan utama adalah memastikan aspek keselesaan YDPA dan RPA sepanjang lima tahun pemerintahan.
Saya telah ditugaskan untuk berkhidmat di Istana Negara pada awal tahun ini.
Melalui skop pengalaman dan pengetahuan saya dalam perkhidmatan awam, maka tunjang utama DPBD adalah memberikan teras-teras perkhidmatan yang terbaik kepada baginda berdua semata-mata.
Sudah semestinya cabaran utama adalah memastikan intipati Majlis Istiadat Pertabalan KDYMM YDPA dan RPA yang merangkumi tujuh acara keseluruhannya berjalan dengan lancar serta teratur.
Sungguhpun demikian, semua urus tadbir ini adalah mengikut kerjasama yang diberikan oleh pelbagai kementerian dan jabatan atau agensi lain, termasuklah Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pada amnya, Majlis Istiadat Pertabalan yang pertama telah bermula pada 18 Julai (Khamis), melalui ‘Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat’.
Acara-acara seterusnya menyusul sebelum berakhir pada 27 Julai (Sabtu) lalu iaitu ‘Majlis Jamuan Teh Diraja’ yang perlu berjalan dengan tertib dan teratur.
Antara beberapa kelainan yang disaksikan semasa Majlis Istiadat Pertabalan itu adalah Persembahan Muzik Nobat Gendang yang menggunakan Nobat Diraja Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ia telah mendapat perkenan daripada YDPA, di mana umum mengetahui bahawa RPA, Raja Zarith Sofiah merupakan Kerabat Diraja Negeri Perak sendiri.
Hal ini kerana, RPA juga merupakan Puteri kepada Almarhum Sultan Idris.
Selain itu, penggunaan Nobat Diraja Perak ini telah mendapat perkenan khas daripada DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.
Tambahan pula, Majlis Istiadat Pertabalan telah dihadiri oleh beberapa pemimpin negara asing iaitu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Raja Bahrain, His Majesty Hamad Isa Al Khalifa dan Mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Dari segi pemilihan warna tema, biru ‘tiffany’ yang telah menjadi kegemaran YDPA.
Maka, warna itu turut digabung jalin bersama dengan kuning sebagai menunjukkan warna diraja.
Sesungguhnya, YDPA dan RPA mempunyai cita rasa yang tersendiri.
Melalui dimensi warna cantik ini, ia menjadikan Majlis Istiadat Pertabalan YDPA Ke-17 pada kali ini mempunyai suatu ‘sentuhan peribadi’ daripada kedua-dua figura berkenaan.
Selain itu, warna berkenaan telah dipilih untuk digunakan di dalam cetakan warkah persilaan dan buku atur cara pertabalan kepada semua hadirin yang dijemput hadir pada majlis istiadat pertabalan tersebut.














