fbpx
PENIAGA durian, Mohd. Amanrullah Yahya meletakkan harga pada durian yang dijualnya di Bandar Baru Kuala Lipis dekat sini, semalam.

Durian RM50 sebakul laku keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Menyedari ramai yang kurang berkemampuan membeli durian secara timbang menyebabkan seorang peniaga du­rian dari Kampung Kubang Rusa di sini, menjual raja buah berkenaan dengan harga RM50 sebakul.

Mohd. Amanrullah Yahya, 37, inisiatif jualan durian dalam bakul itu bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya golongan B40 membeli durian tanpa risau kerana raja buah itu sinonim de­ngan harga mahal.

Katanya, buah yang dijual juga adalah buah yang berkualiti dan baru luruh bagi memastikan pembeli berpuas hati.

“Untuk harga durian kampung RM50 sebakul ada empat hingga tujuh biji, manakala harga RM100 sebakul ada enam hingga tujuh biji bergantung kepada saiz selain turut dicampur dengan durian gred A.

“Saya juga tidak menyangka sambutan yang diterima amat baik dan permintaan durian bakul agak tinggi, dalam sehari saya mampu menjual antara 70 hingga 100 bakul,” katanya di Bandar Baru Lipis di sini.

Mohd. Amanrullah yang telah mengusahakan perniagaan durian sejak lebih 20 tahun lalu berkata, dia memperoleh bekalan durian dari beberapa kampung di daerah Lipis termasuk Kampung Kubang Rusa, Kampung Teluk Gunung, Kampung Berhamah, Kampung Merapoh dan Kampung Mentara.

Menurutnya, untuk musim ini buah durian tidak banyak dan dia tidak mampu menunaikan permintaan pemborong luar untuk memborong buah berkenaan.

“Rasa tidak berbaloi kalau pemborong datang dari jauh semata-mata untuk ambil durian yang sedikit. Jadi saya bertindak menjual di beberapa tempat termasuk pekan sehari dan pasar pagi,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Nurul Izati Jamaludin, 27, berkata, dia sanggup datang dari Felda Sungai Koyan yang terletak kira-kira 45 kilometer untuk membeli durian di situ kerana harganya jauh lebih murah selain kualiti yang baik.

“Kita keluarga besar jadi untuk beli durian premium seperti musang king, teka, udang merah dan lain-lain tidak mampu sebab kurang bajet.

“Jadi bila ada peniaga menjual durian bakul, saya tidak melepaskan peluang untuk beli,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN