MEMILIKI raut wajah yang lembut, berkulit cerah bersama sepasang kening yang lebat menjadikan wajah pesohor media sosial kelahiran Maghribi itu tidak jemu dipandang.
Selain jelita, wanita berusia 33 tahun bernama Kenza Layli itu juga cukup pintar dan boleh bertutur dalam tujuh bahasa termasuk Inggeris dan Perancis, sekali gus melayakkannya untuk dinobatkan sebagai juara sebuah pertandingan ratu cantik yang diadakan secara maya baru-baru ini.
Wanita berhijab itu juga berjaya menewaskan 1,500 calon yang lain.
Hakikatnya, Kenza tidak wujud dan wanita jelita itu sebenarnya merupakan pesohor media sosial janaan teknologi kepintaran buatan (AI).
Kenza merupakan cetusan idea Meriam Bessa, 40, dari sebuah agensi media di Maghribi iaitu L’Atelier Digital & AI.
Ujar Bessa, dia berbangga kerana memenangi anugerah itu dan membawa satu kejayaan buat Maghribi.
“Ini adalah peluang saya untuk membanggakan Maghribi dan menjadikan dunia melihat rakyat Maghribi, wanita-wanita Muslimah dari negara-negara Arab dan Afrika dalam dunia teknologi,” kata Bessa.
Kenza menyertai pertandingan Miss AI anjuran syarikat penjanaan kepintaran buatan, The Fanvue World AI Creator Awards yang dilancarkan dengan misi untuk melahirkan ratu cantik AI pertama di dunia.
Kenza menggayakan busana rona emas saat dinobatkan sebagai pemenang dan menerima hadiah bernilai AS$13,000 (RM61,231).
Ia merangkumi wang tunai bernilai AS$5,000 (RM23,550), sokongan pada platform pencipta AI terbesar di dunia dan pakar publisiti berdedikasi yang melibatkan perjanjian bernilai AS$13,000 (RM61,231).

Kenza.
“Saya amat bersyukur atas peluang ini dan berterima kasih kepada mereka yang mencipta AI, selain memberikan sokongan penuh kepada impak positif yang terhasil daripada teknologi kepintaran ini.
“Perjalanan ini juga membuktikan bahawa inovasi, kolaborasi dan peningkatan standard adalah cukup penting dalam membentuk masa depan kami,” ucap Kenza dalam satu rakaman video selepas bergelar juara Miss AI.
Sementara itu, naib juara pertandingan tersebut adalah jelitawan AI bernama Lalina dari Perancis yang merupakan seorang wanita berwajah klasik, namun penuh menggoda, manakala pemenang tempat ketiga pula adalah Olivia C dari Portugal, pesohor media sosial berambut pendek yang gemar melancong ke seluruh dunia.
Menerusi akaun Instagram Kenza, ‘pempengaruh’ itu seorang yang sukakan fesyen, melancong, menghias rumah dan menghabiskan masa melakukan aktiviti menyeronokkan bersama keluarga.
Menerusi akaun tersebut juga, Kenza sering berkongsi fesyen Muslimah yang digayakannya, busana tradisional masyarakat Maghribi dan juga foto-foto bersama dua orang adiknya iaitu Zina Layli dan juga Mehdi Layli.
Selain itu, dia juga gemar berinteraksi dengan pengikutnya di Instagram dengan meminta mereka memberikan penilaian terhadap pakaian yang digayakan, selain menyebarkan mesej positif yang menyokong misi pemerkasaan wanita.
Memetik laporan Mail Online, para peserta bagi pertandingan ratu cantik itu dinilai berdasarkan penampilan realistik mereka yang dijana dengan menggunakan teknologi AI, selain populariti di media sosial.
Sejak diasaskan pada Disember tahun lalu, akaun Instagram Kenza sudah pun mengumpul lebih 200,000 pengikut, yang rata-ratanya amat mengagumi kejelitaan wanita itu.
“Awak sangat cantik, Kenza. Tahniah atas kemenangan ini, semoga awak akan terus melakukan perkara-perkara yang bermanfaat kepada dunia dalam industri AI,” komen seorang netizen internet.
Pengasas bersama Fanvue, Will Monange juga mengucapkan tahniah kepada Kenza dan semua peserta yang lain.
“Konsep anugerah ini telah meletakkan pencipta AI ke satu tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Justeru, kami amat teruja untuk melihat masa depan anugerah ini,” katanya.
Para juri berkongsi bahawa kemenangan Kenza bukan hanya terletak pada wajah dan kebolehannya bertutur pelbagai bahasa.
Menurut Sofia Novales yang merupakan salah seorang juri dan individu yang terlibat dalam penghasilan pesohor media sosial AI terkenal dunia, Aitana Lopez, penilaian ke atas peserta pertandingan itu dibuat berdasarkan teknologi di belakang penghasilannya.
“Sebagai contoh, penilaian dibuat dengan melihat bentuk wajah yang konsisten dan pergerakan tangan yang baik.
“Saya kagum melihat Kenza yang saya sifatkan mempunyai penampilan yang berbeza daripada standard kecantikan biasa AI.
“Berdasarkan pengalaman saya, amat sukar untuk menghasilkan sesuatu karakter sekiranya kecantikannya itu berbeza daripada standard kecantikan biasa.
“Maka, proses penghasilan sesuatu yang tampak tidak sesempurna AI dan sebenarnya adalah cukup rumit,” katanya.
Bahkan, dalam beberapa video yang dimuat naik Kenza, pergerakan tubuhnya hampir sempurna, menjadikan wanita itu kelihatan seperti orang sebenar.
Biarpun pertandingan ratu cantik AI kedengaran agak janggal, namun mereka yang terlibat di sebalik penghasilan model AI melihat ia berpotensi untuk menjadi sebuah industri yang besar.
Fanvue menganggarkan industri tersebut boleh mencecah nilai £1 bilion (RM6.06 bilion).
Bahkan, beberapa model terkenal AI seperti Lopez sudah pun menjana pendapatan lumayan dan mengenakan caj sehingga £800 (RM4,851)
kepada jenama-jenama besar untuk satu muat naik di media sosial.
Biarpun AI tidak akan menggantikan manusia sepenuhnya, Novales berkata, model jelita janaan AI seperti Kenza mungkin bakal menjadi satu kebiasaan.
“AI tidak akan menggantikan minda kreatif yang ada pada manusia sebenar, namun ia mampu menghasilkan banyak kemungkinan,” katanya.














