fbpx
Minggu Fesyen Kuala Lumpur diumumkan akan berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

KLFW kembali, bakal dipancar ke skrin LED KLCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENTAS peragaan fesyen tempatan, Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2024) bakal kembali lagi bagi edisi ke-12 tahun ini bertempat di seluruh kawasan Esplanade, Taman KLCC.

Menariknya, acara yang berlangsung selama tujuh hari bermula 29 Julai hingga 4 Ogos ini buat pertama kalinya akan dipancarkan secara langsung menerusi skrin LED.

Pengasas KLFW, Andrew Tan, berkata, tahun ini penganjurannya di lokasi ikonik iaitu KLCC yang menjadi destinasi pelancongan terutama pengunjung dari luar negara memberi banyak kelebihan buat acara tersebut.

“Tahun lalu, acara ini diadakan di tujuh buah lokasi berbeza, manakala bagi tahun-tahun sebelumnya pula, acara ini diadakan di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur selama 10 tahun berturut-turut.

“Bagi edisi kali ini, kami akan mendirikan khemah di kawasan seluas 12,000 kaki persegi di sepanjang Taman KLCC, sebagai tarikan bukan sahaja untuk KLFW, tetapi juga kepada KLCC yang merupakan mercu kebanggaan negara,” katanya.

Ujar Tan, lebih 50 pereka fesyen akan menyertai minggu fesyen tersebut meliputi nama-nama besar sinonim dengan acara itu seperti Rizman Ruzaini, Fizi Woo, Alia Bastamam, Nurita Harith, Syomirizwa Gupta dan juga jenama-jenama baharu seperti Masyadi Mansor, Akudesign, Corak, LARNEY dan SHALS.

Barisan penaja bagi KLFW kali ini pula antaranya adalah KLCC Holdings, Peugeot, AmBank Group, L’Oréal, NX Holdings Berhad, MOCCONA, Watsons, Colgate dengan kolaborasi Samsung dan AirAsia, AirAsia Academy, AirAsia Ride, Santan, GHD, Steve Madden, Laurastar, Laurier, Skechers, Isetan Kuala Lumpur dan Vida.

Kongsi Tan lagi, KLFW bukan pentas peragaan syok sendiri kerana ia sebenarnya merupakan platform memperkenalkan bakat baharu dalam industri fesyen.

“Selain menjadi platform mengetengahkan bakat baharu, penganjuran acara ini juga bukan bersifat syok sendiri kerana ini merupakan platform yang membantu industri fesyen dari segi kelangsungan jenama itu dan apa yang mereka boleh tawarkan kepada pasaran.

“Bahkan, KLFW juga sebenarnya merupakan antara minggu fesyen yang amat dinanti-nantikan oleh peminat fesyen dari negara jiran yang amat mengagumi kehebatan dan bakat pereka fesyen tanah air,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya turut menjemput beberapa media dari negara-negara di Asia Tenggara seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina untuk turut sama membuat liputan KLFW 2024.

Zura Zabidi

Tan berharap agar penganjuran KLFW di lokasi baharu ini bakal menjadi satu acara yang membantu mengembangkan bakat-bakat pereka fesyen tempatan di pentas antarabangsa.

Berkongsi perasaan menyertai KLFW buat kali pertama, pengasas jenama pakaian wanita, LARNEY iaitu Zura Zabidi berkata, dia teruja apabila menjadi salah satu jenama baharu yang ditampilkan dalam pentas peragaan fesyen berprestij ini.

“Ini merupakan tahun pertama label LARNEY bakal memperagakan koleksi kami di pentas peragaan KLFW dan untuk itu, kami membawakan busana signatur yang dinamakan ‘Pleats of Life’ iaitu siri pakaian dengan perincian lipatan yang merupakan DNA label ini,” katanya kepada Stailo.

Ujar Zura yang merupakan bekas jurutera itu lagi, dia akan menggabungkan semua jenis pleats yang pernah dihasilkan LARNEY, namun akan menambah jenis pleats baharu khusus buat pentas peragaan KLFW 2024.

“Sebanyak 30 koleksi akan diperagakan dan saya memilih palet warna-warna pastel bagi koleksi baharu ini,” ujarnya.

Seorang lagi bakat muda yang terkenal dengan busana avant-garde, Masyadi Mansoor menerusi jenamanya MSYD mengakui seronok apabila berpeluang menyertai KLFW 2024 buat kali kedua.

Berbeza dengan koleksi debutnya tahun lalu yang didominasi rona pastel, jejaka berusia 28 tahun itu berkata untuk KLFW kali ini, dia akan menampilkan kelainan dengan menggunakan warna-warna gelap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN