PASIR PUTEH – Hasrat sepasang suami isteri untuk menziarahi anak mereka di hospital tidak kesampaian selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 3.7, Jalan Machang-Tanah Merah dekat Pusat Pemulihan Akhlak Machang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Abdul Razab Awang Kechik, 88, dan isterinya, Zaiton Ismail, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang depan.
Kedua-dua mereka dalam perjalanan melawat Mohd. Lotfi Abdul Rahman, 48, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang menerima rawatan akibat ketumbuhan pada muka.
Mohd. Lotfi berkata, dia menerima perkhabaran duka mengenai bapa tiri dan ibunya terlibat kemalangan daripada adik perempuannya.
“Saya dimasukkan ke HUSM Isnin lalu sebelum menjalani pembedahan ketumbuhan di muka pada Khamis.
“Semasa berada di hospital, saya terkejut apabila adik perempuan yang berusia 46 tahun memaklumkan bapa tiri dan ibu meninggal dunia selepas terlibat kemalangan.
“Lebih menyedihkan, mereka sebenarnya mahu menziarahi saya di HUSM secara senyap-senyap tanpa pengetahuan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Permatang Sungkai, di sini semalam.
Mohd. Lotfi memberitahu, dia terus bergegas mendapatkan surat pelepasan untuk keluar dari hospital kerana mahu menguruskan jenazah ibunya.
Menurutnya, jenazah ibunya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Sungkai di sini kira-kira pukul 1.30 pagi semalam, manakala bapa tirinya dibawa pulang ke Tanah Merah untuk urusan pengebumian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan mendapati, Abdul Razak memandu kereta jenis Perodua Kancil dan isterinya dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala ke Machang.
“Kereta itu dipercayai terbabas ke laluan bertentangan semasa tiba di lokasi kejadian sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres yang membawa seramai 29 penumpang.
“Kemalangan itu menyebabkan pasangan suami isteri itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada badan,” ujarnya.















