PERNAH gagal meraih tempat dalam senarai finalis Dewi Remaja 2018/2019, pendatang baharu, Rasya Dean hampir putus asa. Fikirnya, dia tidak akan berkesempatan bergelar pelakon.
Memandangkan ketika itu dia berada di tahun akhir jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Perdagangan di MSU College, Rasya membulatkan hati fokus menyempurnakan pengajian.
Tamat pengajian, Rasya bekerja di sebuah syarikat kewangan dan meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Namun, tiada siapa menyangka pintu harapan menyertai dunia seni tiba-tiba terbuka luas.
Secara perlahan-lahan pemilik nama lengkap Rasya Sofea Mohamed Nasurdin itu mengatur langkah sebagai pelakon.
“Sejak kecil saya memang berminat untuk jadi pelakon. Awalnya telahan saya, Dewi Remaja dapat menjadi batu loncatan untuk masuk ke dalam industri hiburan.
“Tetapi, nyata belum ada rezeki buat saya lagi waktu itu. Jadi saya pilih untuk mencari kerja dan pada masa sama cari peluang jadi pelakon.
“Waktu itu saya sangat bersyukur kerana syarikat memberi kebenaran untuk berlakon sambil bekerja.
“Namun, sekitar tiga tahun bekerja, saya mula fikir sudah tiba masa untuk memberi sepenuh tumpuan pada kerjaya seni,” ujarnya yang menjadikan karya Zuriat Dari Penjara sebagai langkah mula menerjuni dunia lakonan.

Elisya Sandha, Rita Nadira
Melanjutkan cerita, wanita berusia 28 tahun itu mengakui sudah terbiasa apabila wajahnya disamakan dengan rakan selebriti lain.
Antara yang paling kerap disamakan dengannya ialah Elisya Sandha dan Rita Nadira.
Tidak dinafikan, awalnya dia berasa sedih memikirkan nasib sebegitu.
Bukanlah menjejaskan rezeki, perihal sedemikian secara tidak langsung membuatkan dia berasa seperti tidak wujud. Rasya bagaimanapun enggan membiarkan perkara itu terus ‘meratah’ jiwanya.
Dia kemudian tampil dengan semangat baharu dan positif selain menganggap perkara itu sebagai pujian buat dirinya.
“Saya mula berasa tidak percaya dengan apa yang mereka kata kerana secara peribadi tidak melihat wajah saya seperti mereka.
“Tetapi apabila lama-kelamaan saya tidak lagi mengambil pusing mengenai itu.
“Bagi saya, hal itu menarik kerana saya dapat tahu individu yang memiliki wajah serupa dengan saya,” ujar seraya tersenyum.
Bagi membuktikan persamaan itu, Rasya bagaimanapun mengatakan dia pernah keliru tatkala melihat foto Rita Nadira di Instagram.

Telahannya, wanita dalam gambar yang dilihat di media sosial itu merupakan dirinya, namun dia tersilap.
“Perkara ini agak kelakar kerana saya berkawan dengan Rita. Ceritanya apabila saya mengira gambar itu adalah diri saya sedang tidak pernah mengambil gambar itu.
“Kemudian selepas diperiksa, saya ketawa sendiri kerana rupanya gambar itu adalah Rita Nadira. Waktu itu saya mula yakin dengan cakap-cakap orang apabila mengatakan muka kami seiras,” terangnya melepaskan tawa kecil.
Biarpun wajahnya dikatakan seiras pelakon lain, Rasya sedikitpun tidak mengambil kesempatan itu untuk ‘mencuri’ populariti dua rakan artis terbabit.
Baginya setiap daripada mereka mempunyai kredibiliti dan kelebihan masing-masing. Jadi, tidak timbul cerita kononnya dia menumpang populariti orang lain untuk menjadi terkenal.
“Saya menjadi pelakon bukan kerana hendak popular. Sekiranya ada itu dianggap sebagai bonus. Bagi saya ini adalah medan untuk berkarya dan mempamerkan bakat.
“Walaupun muka saya dikatakan sama dengan pelakon lain, namun tiada istilah tumpang populariti apabila berada di set kerana masing-masing menjadi diri sendiri.
“Mereka mungkin melihat luaran kami serupa tapi apabila sudah kenal, masing-masing ada personaliti tersendiri, kami langsung tak sama,” ujarnya.

Watak jahat
Perbualan dengan anak keempat daripada enam adik-beradik itu kemudian terarah terhadap karier.
Kata Rasya, dia selesa menjayakan watak antagonis kerana menyifatkan karakter sebegitu mempunyai personaliti yang terbuka dan kasar.
Hal itu berbeza apabila dia perlu membawakan watak baik yang menuntut juraian air mata dan babak menjerut hati.
Tidak menafikan mudah berasa tertekan sekiranya diminta melakonkan babak air mata, akui Rasya, perasaan sebegitu timbul mungkin disebabkan pengalamannya yang tidak seberapa sebagai pelakon.
“Apabila harus melakonkan babak menangis, saya jadi tidak banyak bercakap di set penggambaran. Lebih senang membuat hal sendiri dan memencilkan diri.
“Secara peribadi, saya pula gemar ketawa dan tidak mudah duduk diam.
“Bagi saya waktu pagi adalah masa yang sesuai untuk melakonkan babak sedih,” terangnya panjang lebar.

Meneruskan cerita, Rasya menanam impian diberi kepercayaan membawa watak pembunuh psiko yang tiada sifat perikemanusiaan.
“Watak sebegitu agak mencabar kerana banyak melibatkan permainan emosi,” jelasnya pelakon drama Kiblat Ke Syurga itu.
Berkongsi penglibatannya dalam Kiblat Ke Syurga, Rasya yang membawakan watak sebagai Dian mengakui bukan mudah untuk menjayakan watak Dian dalam drama berkenaan.
Katanya, Dian mempunyai personaliti yang sederhana dan lemah lembut yang menuntut lontaran suara penuh kewanitaan berbanding sisi sebenarnya.
“Watak Dian agak mencabar. Meskipun dia seorang wanita yang baik dan sopan, tetapi untuk mendapatkan intonasi suara sepertinya itu bukan mudah.
“Saya perlu mencuba beberapa kali sebelum dipersetujui oleh pengarah (Ezrie Gazali).
“Walaupun nampak bersahaja, tetapi pada saya itu antara cabaran terbesar kerana bukan mudah untuk membawakan karakter yang lemah-lembut,” katanya yang turut akan muncul dengan filem pertama berjudul Mayang tidak lama lagi.















