KELMARIN berakhirlah sudah saingan peringkat kumpulan Kejohanan Euro 2024 yang menyaksikan 16 pasukan berjaya mara ke peringkat seterusnya dengan beberapa keputusan yang mengejutkan berlaku selain empat pasukan di tempat ketiga yang bertuah juga berjaya menghidupkan peluang memburu kemasyhuran.
Dianggap sebagai saingan kedua berprestij selepas Piala Dunia, saingan Euro masih berjaya mengekalkan standardnya apabila para peminat disajikan dengan begitu banyak perlawanan yang menarik serta jaringan-jaringan berkelas dunia selain ia menjadi medan bakat-bakat baharu menyerlahkan kualiti dimiliki.
Bagaimanapun, Euro kali ini menjadi edisi paling mengharukan apabila mungkin tidak akan ada lagi kelibat lapan pemain berstatus bintang pada edisi empat tahun akan datang di United Kingdom ekoran faktor usia apabila mereka sudah berkira-kira untuk membuat keputusan bersara.
Portugal hampir pasti kehilangan tiga pemain tonggak mereka, penjaga gol, Rui Patricio yang sudah membuat 108 penampilan, selain pemain pertahanan, Pepe juga yang melakukan aksi debut pada 21 November 2007 dan memiliki 138 kap antarabangsa juga menjadikan kempen kali ini yang terakhir apabila sudah berusia 41 tahun.
Bagaimanapun, lebih mengesankan pastinya Portugal kehilangan pemain paling luar biasa dalam sejarah bola sepak mereka yang juga pemenang lima anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo yang kini berusia 39 tahun dan sangat sukar untuk menyaksikan dia beraksi pada edisi berikutnya.
Ronaldo yang membuat debut bersama pasukan kebangsaan pada 20 Ogos 2003 menjadi pemain membuat penampilan terbanyak dengan lebih 200 kap serta penjaring terbanyak peringkat antarabangsa dengan 130 gol.
Selain Portugal, tuan rumah, Jerman juga mungkin akan kehilangan tiga pemain utama untuk edisi berikutnya dengan Manuel Neuer yang kini berusia 38 tahun dengan 120 kap mungkin sudah perlu merelakan tempatnya untuk diambil alih Marc Andre-Ter Stegen yang tidak pernah merasai pengalaman beraksi dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, Euro sebelum ni.
Selain itu, para peminat Die Mannschaft juga perlu menyaksikan sepuas-puasnya aksi dua lagi bintang mereka, Toni Kroos dan Thomas Muller yang masing-masing sudah berusia 34 tahun dan berkira-kira untuk menggantung but, ketika aksi kali ini menjadi peluang terakhir untuk mereka memburu kejuaraan untuk menjadi memori manis terakhir dalam karier.
Dalam pada itu, Croatia juga hampir pasti kehilangan pemain paling banyak membuat penampilan dalam sejarah mereka, Luka Modric (176) yang sudah berusia 38 tahun, malah pemenang Ballon d’Or 2018 itu juga sudah membuat keputusan bersara selepas Piala Dunia Qatar 2022, namun membuat pusingan U ekoran permintaan pengendali pasukan itu, Zlatko Dalic yang memerlukan khdimatnya di Euro kali ini.
Terakhir, peminat Perancis juga mungkin tidak akan menyaksikan lagi sentuhan penyudah tajam penggempur mereka, Olivier Giroud yang sudah berusia 37 tahun.














