fbpx
DR. ZULKIFLI memaklumkan, vaksin Qdenga boleh diperoleh di klinik dan hospital terpilih di seluruh negara. – Gambar hiasan

Vaksin Qdenga ‘senjata’ baharu perangi denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDASARKAN Pelan Strategik Pencegahan dan Kawalan Denggi Kebangsaan (2022-2026), Malaysia menetapkan sasaran penurunan bilangan kes demam denggi tahunan sebanyak 5 peratus pada setiap tahun.

Pelbagai usaha telah dilakukan seperti semburan kabus (fogging), penggunaan nyamuk Wolbachia serta kempen kesedaran awam bagi memastikan sasaran tercapai.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pendaftaran bersyarat kepada produk vaksin denggi iaitu Qdenga.

Namun, pelbagai persoalan timbul berkenaan vaksin berkenaan sehingga ada yang menyamakannya dengan vaksin Covid-19.

Bagi memahami lebih mendalam berkenaan isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA menemu bual Pengerusi Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Ismail baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Pertama sekali, boleh Dr. ulas kes demam denggi secara keseluruhan dan bagaimana ia boleh merebak dalam kalangan masyarakat di negara ini?

DR. ZULKIFLI ISMAIL: Denggi merupakan penyakit yang memerlukan nyamuk aedes aegypti atau albopictus untuk merebak. Virus denggi ini ada empat serotip yang berbeza di antara negara dan masa.

Pada masa ini, serotip DenV2 merupakan serotip dominan. Pada 2022, DenV4 yang paling dominan dan pada tahun 2023 (campuran DenV2 dan 4). Perbezaan serotip ini menyebabkan penyakit denggi sekunder lebih tenat berbanding denggi primer.

Denggi merebak kerana ada ramai menghidap penyakit tanpa gejala (asimptomatik) yang boleh digigit oleh nyamuk aedes.

Virus merebak daripada seorang kepada orang lain kerana terdapat tempat pembiakan nyamuk di persekitaran, orang ramai kurang menghiraukan penjagaan kebersihan persekitaran dan pembinaan bangunan tidak mengambil kira tempat-tempat air bertakung.

Selain itu, kegunaan insect repellent masih belum diterima oleh khalayak ramai khasnya kanak-kanak.

Kita dapati kebanyakan kes denggi ini berlaku di kawasan bandar terutamanya di Selangor dan Kuala Lumpur. Boleh Dr. beritahu puncanya?
Nyamuk aedes yang merupakan vektor pembawa virus denggi membiak di takungan air dan kebanyakannya di kawasan perbandaran serta tapak binaan bangunan.

Di kawasan bandar, pembinaan berleluasa dan tempat-tempat ini terdapat banyak air bertakung. Nyamuk ini tidak boleh membiak di tepi atau dalam sungai.

Sekiranya seseorang itu kena demam denggi, apakah kesan yang akan dialami oleh pesakit. Adakah ia boleh membawa kepada maut sekiranya tidak dirawat?
Jika dijangkiti denggi, seseorang itu akan mengalami demam, ruam, sakit otot dan tulang yang teruk, kurang selera makan, sekali gus membawa kepada kekurangan cecair dalam badan (dehidrasi).

Selain itu, denggi boleh menyebabkan platelet menjadi rendah, selain boleh menyebabkan pendarahan dan kejutan, jika tidak diberi rawatan tepat.

Jika keseimbangan cecair dalam badan pesakit hilang, maka pesakit boleh menjadi lebih tenat.

Setiap kali ada individu kena demam denggi, kawasan berkenaan akan disembur asap (fogging) untuk mematikan nyamuk. Adakah langkah ini berkesan bagi membendung penyakit ini?
Semburan asap pembunuh serangga merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan untuk membendung nyamuk yang membawa virus denggi.

Sebenarnya, keberkesanan aktiviti ini tidak dapat dipastikan.

Sebaliknya, banyak serangga lain yang terbunuh disebabkan bahan dalam semburan tersebut.

Salah satu langkah yang diambil oleh pihak berkuasa adalah melepaskan nyamuk aedes Wolbachia. Bagaimanakah nyamuk ini berfungsi membendung penularan denggi? Boleh Dr. terangkan?
Wolbachia ialah sejenis bakteria yang boleh mengurangkan pembiakan nyamuk aedes aegypti.

Nyamuk-nyamuk yang disuntik dengan bakteria Wolbachia akan dilepaskan ke kawasan-kawasan telah dipilih. Apabila nyamuk Wolbachia ini mengeluarkan telur, ia tidak akan menetas jadi pupa dan larva.

Dengan beribu-ribu nyamuk Wolbachia ini dilepaskan, maka akan berkurang nyamuk yang membawa virus denggi.

Seperti dilaporkan sebelum ini, strategi berkenaan berkesan mengurangkan kes denggi dan kemasukan ke hospital disebabkan denggi di Yogyakarta, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, KKM boleh mengesahkan bahawa nyamuk Wolbachia ini telah dilepaskan di 35 kawasan. Keputusan terkini menunjukkan bahawa kes denggi berkurangan di tempat yang memiliki populasi nyamuk Wolbachia ini.

Strategi ini memakan perbelanjaan tinggi. Sebenarnya, kos menyuntik nyamuk aedes dengan bakteria Wolbachia ini memerlukan proses pengasingan jantina nyamuk.

Proses ini memerlukan alat-alat khas, kepakaran dan kemahiran tinggi.

Kerjasama masyarakat di mana nyamuk-nyamuk ini dilepaskan juga penting supaya mereka tahu.

Ini bagi memastikan mereka tidak membunuh pula nyamuk yang sepatutnya menolong kita mengurangkan populasi aedes.

Seperti Dr. beritahu sebelum ini, kita selalu menyasarkan pengurangan 5 peratus kes denggi pada setiap tahun. Tapi tidak berjaya, sebaliknya kes semakin meningkat. Apakah sebab utama usaha ini tidak berjaya?
Ada banyak sebab kita tak boleh mengurangkan kes denggi. Salah satunya kerana kita tidak boleh kawal penyebaran penyakit ini melalui nyamuk betina.

Kita perlu kawal pembiakan nyamuk, tapi ia memerlukan kesedaran dan kerjasama semua pihak dalam masyarakat dan pendidikan harus diberikan sejak di bangku sekolah lagi.

Apa yang kita boleh kawal ketika ini adalah kadar kematian dan kemasukan dalam hospital. Caranya adalah dengan mengajar orang ramai supaya mendapatkan rawatan awal dan meminta ujian darah jika demam.

Usaha lain adalah dengan mengajar doktor dan pekerja kesihatan cara memantau kes denggi dengan betul, merawat secara tepat dan memulakan intervensi berpatutan mengikut ketenatan penyakit. Rawatan pesakit denggi yang tenat memerlukan kegunaan infusi intravena cecair yang tepat.

Baru-baru, orang ramai sudah boleh mengambil vaksin khas denggi iaitu Qdenga selepas ia diluluskan oleh pihak berkuasa. Siapakah golongan yang perlu mengambil vaksin ini? Bagaimana pula vaksin ini berfungsi dan adakah ia mampu mengelak jangkitan denggi?
Vaksin ini boleh diberi kepada semua individu yang berusia empat tahun ke atas.

Vaksin ini tidak patut diberikan kepada ibu mengandung, ibu menyusu bayi serta mereka yang diberi kemoterapi untuk kanser dan diberi ubat steroid.

Ini kerana sistem imun mereka lemah. Untuk makluman, Qdenga adalah sejenis vaksin virus hidup yang dilemahkan (live attenuated vaccine).

Vaksin Qdenga ini boleh didapati di klinik dan hospital swasta di seluruh negara. Kami akan senaraikan klinik-klinik dan hospital-hospital yang membekalkan vaksin ini di laman web DPAM (Dengue Prevention Advocacy Malaysia).

Efikasi vaksin ini ialah 80.2 peratus mencegah penyakit denggi bergejala dan 90.4 peratus kemasukan dalam hospital setelah 18 bulan lepas suntikan.

Data jangka panjang efikasi vaksin terhadap kemasukan dalam hospital adalah 84.1 peratus, dan bagi penyakit denggi bergejala (symptomatic dengue) adalah 61.2 peratus.

Ini bermakna, vaksin berkenaan efektif mencegah penyakit denggi bergejala dan kemasukan ke hospital disebabkan denggi yang teruk.

Pada pendapat Dr., perlukah kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin denggi ini kepada semua kanak-kanak di Malaysia dan memasukkannya dalam senarai vaksin wajib?
Saya tidak fikir kerajaan patut mewajibkan vaksin denggi pada masa ini, walaupun ada banyak kelebihannya.

Kita juga perlu pertimbangkan hak pilihan individu untuk mendapat perlindungan daripada virus denggi atau terbuka kepada jangkitan teruk.

Pada masa ini, cukup ia ditawarkan di fasiliti swasta seperti vaksin-vaksin yang lain.

Ada juga pihak yang bimbang untuk mengambil vaksin Qdenga kerana takut kesan sampingannya. Bagaimanakah, Dr. melihat perkara ini?
Kita perlu faham berkenaan vaksin-vaksin yang berlainan. Vaksin yang ditakuti masyarakat masa ini ialah vaksin mRNA.

Vaksin Qdenga ini adalah vaksin virus hidup yang dilemahkan seperti vaksin campak dan vaksin cacar air yang telah digunakan selama berdekad.

Dalam kajian selama empat setengah tahun, kesan sampingan yang berlaku hanya berkaitan tempat suntikan dan demam atau lenguh-lenguh badan serta kaki.

Orang ramai tidak perlu takut dengan vaksin ini kerana dalam masa empat setengah tahun, tiada tanda-tanda yang menunjukkan kesan sampingan serius telah berlaku.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN