Dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan kerana sebagai manusia biasa tidak dapat menghindari melakukan dosa.
Biarpun begitu, kita digesa agar berusaha menjadi insan lebih baik dengan menyesali segala dosa yang dilakukan dan berjanji untuk tidak mengulanginya.
Inilah sebenarnya hakikat sebuah pengorbanan seorang hamba Allah ke arah menjadi yang lebih baik berbanding semalam.
Sesuai dengan ‘roh’ hari raya korban atau Aidiladha sekarang, setiap daripada kita memerlukan pengorbanan besar dalam mendepani kehidupan yang semakin mencabar.
Persoalannya, adakah kita sanggup mengorbankan kemahuan dan nafsu kita sendiri dalam mencari keredaan Ilahi.
Sanggupkah kita mengorbankan hati dan perasaan sendiri termasuk wang ringgit demi memberikan kebaikan dan kehidupan lebih baik kepada orang lain.
Untuk berbuat begitu kita sebenarnya telah mengorbankan sifat keji dalam akhlak kita tanpa sedar termasuk sombong, suka memandang rendah kepada orang lain serta perasaan tamak.
Sebagaimana orang melakukan ibadah korban, perlu ikhlas dan menghindari daripada bersikap sombong, menunjuk-nunjuk atau memandang rendah kepada yang tidak melakukan korban.
Kita tidak mahu ibadah korban sebagai ritual semata-mata tanpa memberi impak positif kepada peribadi seseorang Muslim.
Begitu juga halnya dalam kehidupan seharian, kita perlu buang semua itu termasuk sifat tamak dalam diri sehingga mengambil hak orang lain.
Dalam hidup ini kita perlu berkongsi rezeki dan nikmat yang diperoleh kerana mungkin ada dari kalangan saudara seagama kita kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.
Jelaslah kepada kita bahawa tujuan berkorban adalah untuk mencapai keredaan Allah.
Hakikat dalam menjalani ibadah korban, kita sebenarnya mengorbankan hawa nafsu untuk membuat kebaikan agar kita lebih hampir dengan Allah Azzawajalla.
Sesungguhnya nafsu yang tidak dikorban boleh menjadi belenggu yang menyusahkan hidup kita satu hari nanti.
Bersedialah untuk mengorbankan ego dalam diri demi menjadi manusia terpuji kerana kita semua adalah pendosa.














