SEJAK sekian lama, semua golongan masyarakat di negara ini menikmati subsidi diesel yang diberikan oleh kerajaan.
Namun sejak Isnin lalu, kerajaan mula mengambil langkah untuk menarik kembali subsidi diesel yang diberikan itu.
Penyasaran subsidi dilakukan dan sektor serta individu yang memerlukan akan dibantu oleh kerajaan melalui beberapa inisiatif.
Penarikan subsidi itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan negara, namun pada masa sama akan memberi kesan negatif lain yang harus ditanggung oleh rakyat.
Bagi membincangkan isu berbangkit mengenai penarikan subsidi ini, Wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pakar Ekonomi yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Pengurusan Penjanaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerajaan terpaksa menarik subsidi diesel bagi menyelamatkan negara? Boleh Dr. ulas mengenai pernyataan ini bagi memberi pemahaman kepada orang ramai?
DR. MUSTAZAR: Kerajaan sebenarnya bukan menarik subsidi diesel itu, sebaliknya menyasarkan bahan api tersebut dengan tujuan menyelamatkan negara.
Kita tahu bahawa kerajaan dalam beberapa tahun ini telah mengamalkan belanjawan defisit, di mana perbelanjaan yang digunakan untuk mengurus dan pembangunan melebihi hasil cukai serta bukan cukai.
Kita tahu bahawa penyasaran subsidi merupakan salah satu cara bagaimana kerajaan ingin menyusun semula belanjawan yang baik.
Kalau kita lihat, kerajaan cuba mengurangkan bebanan subsidi tersebut dengan cara berhati-hati.
Ini bagi membolehkan subsidi dinikmati oleh mereka yang betul-betul layak.
Ada beberapa kajian yang kami lakukan menunjukkan bahawa subsidi ini juga dinikmati warga asing yang semakin ramai di negara kita sehingga ada yang mengusahakan perniagaan sendiri.
Dalam pada itu, bagi golongan kaya pula, ada yang patut menerima subsidi diesel dan ada yang tidak wajar untuk menerimanya.
Golongan kaya ini ada beberapa kategori. Ada orang kaya persendirian, orang kaya yang ada perniagaan untuk membantu rakyat dan orang kaya ada perniagaan, tetapi kurang membantu rakyat.
Jika kaya persendirian dan mempunyai kenderaan mewah menggunakan diesel, mereka tidak layak untuk mendapat subsidi.
Ada juga peniaga yang kaya dan gunakan diesel, namun tidak memberikan keuntungan kepada rakyat, mereka ini juga tidak layak mendapat subsidi.
Bagaimanapun, ada peniaga yang kaya dan dia meniaga barangan keperluan rakyat, mereka ini wajar menerima bantuan subsidi diesel.
Kita bimbang, jika ada kenaikan harga diesel dan peniaga ini tidak mampu menyerapnya, maka mereka akan pindahkan kepada harga barangan keperluan.
Ini secara tidak langsung akan memberi kesan kepada rakyat.
Ada pihak yang menyatakan penarikan subsidi diesel ini sangat tidak wajar kerana kita negara pengeluar minyak. Sepatutnya, rakyat perlu mendapat manfaat daripada keuntungan ini melalui pemberian subsidi. Apakah pendapat Dr. mengenai pernyataan seperti ini?
Kerajaan telah mengumumkan untuk melakukan penyasaran subsidi bahan api pada belanjawan tahun lalu.
Hal ini akan memberi kesan, namun seperti mana dikatakan oleh Perdana Menteri, ia dibuat untuk menyelamatkan negara sebab kita banyak hutang.
Subsidi minyak agak besar apabila harga minyak tinggi dan kita pernah capai sehingga RM80 bilion untuk menampung subsidi tersebut.
Jadi, kerajaan cuba melihat penyasaran subsidi diesel ini terlebih dahulu.
Dari segi ekonomi, tindakan kerajaan ini tidak popular, namun kita perlu biarkan pasaran berjalan sendiri.
Namun, sekiranya ia memberi kesan agak buruk, kerajaan boleh melakukan libat urus untuk melihat kategori-kategori lain yang tidak mendapat penyasaran subsidi ini.
Sebagai contoh adalah kategori syarikat pengangkutan yang membawa bahan binaan, kita bimbang harga rumah akan naik.
Ini akan menyebabkan ramai tidak mampu memiliki kediaman sendiri.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan subsidi diesel akan ditarik sedikit demi sedikit. Sebaliknya, kerajaan mengumumkan penarikan secara total. Adakah langkah ini tepat kerana ia dilihat terlalu drastik?
Sesuatu yang baru dilaksanakan, sudah pasti ramai tidak boleh menerimanya.
Bagi saya, penyasaran bahan api ini perlu dilakukan sekarang kerana beban hutang negara semakin lama semakin membimbangkan.
Bagaimanapun, harga minyak dunia juga telah stabil berbanding dahulu, sekali gus memaksa subsidi yang ditanggung kerajaan lebih tinggi.
Jika kita lihat harga diesel yang diletakkan RM3.35 seliter, ia masih lebih rendah berbanding harga di negara-negara lain.
Salah satu sebab penyasaran subsidi ini adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan yang sebenarnya memang wujud.
Perkara ini berlaku kerana harga bahan api kita relatif lebih rendah berbanding harga di negara sekitar.
Pada harga lama, penyeludup akan mendapat keuntungan agak besar dan ia satu ketirisan yang merugikan negara.
Bagi mengelakkan perkara ini, selain penguatkuasaan adalah dengan meningkatkan sedikit harga bahan api sekurang-kurangnya menghampiri harga di negara-negara sekitar.
Ini akan mengurangkan penyeludupan, sekali gus ketirisan yang berlaku akan berkurangan dan dapat dikawal.
Biarpun begitu, langkah penarikan subsidi diesel ini dikecualikan di Sabah dan Sarawak. Apakah rasionalnya tindakan ini kerana ramai juga yang menggunakan kenderaan diesel di Semenanjung sebagai pengangkutan harian?
Keadaan geografi Sabah dan Sarawak tidak seperti di Semenanjung kerana penggunaan kereta sedan adalah tidak sesuai.
Kebanyakan penduduk di kedua-dua negeri ini memerlukan kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan diesel untuk pergi berniaga dan bekerja.
Tindakan kerajaan adalah tepat kerana mereka akan melihat dahulu apa yang berlaku di Semenanjung.
Kemudian, ia akan diimplementasikan di sana berdasarkan keperluan individu.
Penetapan harga baharu diesel ini pastinya akan memberi impak domino kepada ekonomi. Apakah yang kita boleh jangkakan daripada penarikan semula subsidi ini? Sejauh manakah impaknya kepada masyarakat?
Impak domino atau percatutan iaitu peletakkan harga yang agak melampau pasti akan berlaku kerana ada pihak cuba mengambil kesempatan.
Dari segi mikro, sudah pasti firma-firma perniagaan akan pindahkan kos yang mereka terpaksa tanggung jika tidak layak untuk mendapat bantuan kepada harga barangan.
Pada masa sama, ia memberi dilema kepada peniaga. Jika peniaga ini mendaftar perniagaan untuk mendapatkan bantuan, mereka bimbang akan dikenakan cukai.
Kita juga mengetahui bahawa bahan api merupakan salah satu kos berubah kepada peniaga.
Peniaga akan pindahkan kos ini kepada harga jualan supaya hasil yang mereka perolehi berbaloi.
Selain itu, mereka ini juga berhadapan dengan tekanan bahan mentah lain yang meningkat disebabkan oleh kadar pertukaran, kadar upah minimum dan lain-lain.
Manakala dari segi makro, kenaikan harga barangan disebabkan oleh tiga perkara.
Pertama adalah kerana inflasi diimport di mana barang-barang yang diimport dari luar negara tinggi.
Kedua disebabkan inflasi tolakan kos. Ini yang kita bimbang apabila bahan api meningkat dan kadar upah tinggi serta kenaikan kos-kos lain, sekali gus menyebabkan harga barang turut meningkat.
Ketiga adalah berkaitan inflasi tarikan permintaan, di mana harga akan naik kerana orang ramai berbelanja.
Kesan domino yang menyebabkan harga barang meningkat boleh berlaku disebabkan tiga perkara ini dan kita perlu mengawalnya.
Kita tidak boleh menyalahkan penyasaran subsidi ini semata-mata dan kita perlu lihat juga peranan peniaga.
Peniaga akan menaikkan harga kerana faktor-faktor lain dan bukannya disebabkan inflasi tolakan kos semata-mata.
Pastinya, golongan yang paling terjejas daripada penarikan subsidi ini adalah M40. Mereka bukan kaya, namun tidak mendapat sebarang bantuan seperti B40. Apakah bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada golongan ini bagi mengurangkan beban mereka?
Penentu kepada M40 adalah berdasarkan julat pendapatan. Namun, ada M40 yang boleh menjadi B40 jika dia tinggal di kawasan bandar dan ini yang membimbangkan.
Bagi M40 di kawasan bandar, mereka sangat terjejas kerana harga barangan seperti makanan, sewaan rumah dan lain-lain lain agak mahal.
Sebab itu sistem PADU dilaksanakan kerana kerajaan ingin melihat bukan hanya dari segi pendapatan, sebaliknya faktor-faktor lain juga yang tiada dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jadi. kerajaan boleh menentukan jumlah bantuan yang boleh disalurkan kepada M40 berdasarkan penilaian lain, bukan hanya dari segi pendapatan sahaja.
Pada pendapat Dr., adakah penarikan subsidi diesel ini akan menyebabkan permintaan kenderaan diesel akan menjunam selepas ini. Sebaliknya, orang ramai akan menggunakan kenderaan petrol dan elektrik (EV)?
Pengguna akan mencari alternatif jika penyasaran subsidi diesel mahupun petrol yang dilaksanakan akan memberi kesan besar.
Kenderaan EV mungkin boleh menjadi alternatif, namun begitu kerajaan perlu memberi insentif supaya pengguna mendapat sedikit kelebihan.
Sebagai contoh pemberian rebat tunai, rebat pelepasan cukai dan lain-lain lagi supaya mereka boleh membeli kenderaan ini pada harga mampu milik.
Selain itu, kerajaan boleh menggalakkan syarikat-syarikat pengeluar EV dari luar untuk datang bertapak di Malaysia supaya harga kereta itu lebih rendah. Kerajaan juga perlu menyediakan sokongan kemudahan pengecasan di seluruh Malaysia.
Menerusi langkah awal ini, adakah kerajaan akan menarik semula subsidi petrol dalam masa terdekat. Kalau ia dilakukan dalam masa terdekat, apakah implikasinya kepada ekonomi negara?
Petrol merupakan barang penting untuk pengangkutan, jadi kerajaan perlu pastikan ia disasarkan kepada orang yang betul-betul layak.
Pertama, pastikan warga asing dan golongan ‘maha kaya’ tidak mendapat penyasaran subsidi petrol jika dilaksanakan.
Selain itu, penyasaran juga perlu dilihat kepada sektor-sektor penting bagi memastikan mereka tidak menerima kesan besar dan akhirnya menjejaskan pengguna.
Sebagai contoh, jika penyasaran subsidi ini memberi kesan kepada logistik bahan-bahan penting seperti makanan dan lain-lain lagi, ia perlu dilihat supaya tidak berlaku peningkatan harga kepada pengguna.
Libat urus kerajaan adalah penting supaya penyasaran subsidi petrol tidak memberi kesan tidak baik kepada ekonomi.
Tindakan kerajaan untuk penyasaran petrol memang akan dilakukan dalam masa terdekat kerana bebannya agak tinggi.
Penyasaran diesel yang dilakukan membolehkan kerajaan jimat sebanyak RM4 bilion.
Sekiranya petrol juga dilaksanakan, jumlah penjimatan akan lebih daripada jumlah itu kerana subsidi ditanggung untuk petrol adalah sangat tinggi.














