SIFAT-sifat ideal bagi seorang lelaki untuk dijadikan ketua keluarga adalah celik agama, jujur, matang, sabar, melindungi serta banyak lagi. Bertitik tolak daripada itu, sebuah keluarga yang harmoni boleh diwujudkan dengan pasangan pilihan.
Boleh disimpulkan seorang lelaki boleh musnah hingga keluarga yang dibina runtuh oleh tiga perkara. Wanita, dadah dan judi. Ini semua penyakit cintakan kenikmatan duniawi. Kawan penulis orang Perlis selalu cakap, ‘sedap buah awal’ bagi menggambarkan situasi tersebut. Kesudahannya mestilah tidak manis.
Kosmo! melalui laporan muka depannya kelmarin, fenomena lelaki yang sudah berumah tangga menjadi perampas isteri orang semakin menjadi-jadi. Mereka ini berselindung sebalik ‘agama’ kononnya lelaki boleh berpoligami, namun meruntuhkan rumah tangga orang lain.
Kadang-kadang sampai naik muak membaca luahan-luahan di media sosial. Semua sama cuma berbeza jalan cerita sahaja. Faktor yang lagi satu ini pula, kesannya lebih memudaratkan jika tidak dibendung. Penggunaan dadah berterusan serta tidak terkawal bukan sahaja ‘merosakkan’ badan, malah minda dan jiwa juga binasa.
Jikalau berjanji dengan golongan ini jangan haraplah mereka akan tepati. Kalau butir percakapannya pula memang A tetapi kerja tidak jalan-jalan.
Penceraian membabitkan masalah kewangan berikutan kesan penagihan dadah pun sering berlaku. Sekali terjebak dengan najis ini jangan harap sang suami mampu memberikan nafkah untuk keluarga. Silap haribulan habis gelang emas isteri digadainya untuk melepaskan ketagihan.
Andai berlaku kes-kes penderaan, pelakunya apabila dijalankan ujian air kencing selalunya memang positif bahan terlarang. Memang tidak boleh lari penagihan dadah dan keganasan.
Dalam berkawan pun kena jaga-jaga. Pengalaman penulis sendiri, pernah juga berdepan situasi kenalan meminjam. Selang dua minggu ‘pinjam seratus’, kadang-kadang hari ini pinjam, minggu depan bayar, selang dua hari pinjam semula seratus. Sebelum terus sepi.
Apabila bertemu isterinya, barulah kita faham rupanya kenalan itu sudah jadi tahi judi. Isteri kini sudah duduk berasingan. Malah, penyata bank juga banyak dikreditkan ke akaun-akaun judi.
Godaan tiga faktor di atas memang kuat. Contoh mudah penulis beri, dalam permainan bertemakan ‘gula-gula’ terdapat juga iklan-iklan judi online. Jadi pendindingnya hanyalah diri kita sendiri.














