KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang tidak membekukan atau menghalang program keagamaan termasuk ceramah yang disertai Ustaz Don Daniyal Don Biyajid atau dikenali Ustaz Don di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sehubungan itu, Ustaz Don Daniyal tetap dibenarkan untuk berceramah di negeri ini meskipun beliau ketika ini terlibat dalam kontroversi ‘direhatkan’ oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Ustaz Don tetap boleh berceramah di Pahang tempat orang lain kita tidak boleh campur.
“Tindakan oleh individu menafikan sirah dibawa Ustaz Don hanya saya boleh nyatakan kasihan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, Ustaz Don Daniyal ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan ibadah haji, Salam Baitullah ekoran kontroversi yang terpalit dengannya.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dalam kenyataan berkata, Ustaz Don Daniyal direhatkan untuk meredakan keadaan yang tegang di media sosial.
Ia susulan isu pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW hingga mengundang pelbagai kritikan beberapa pihak.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kontroversi yang berlaku itu, Syed Ibrahim berkata, beliau agak kesal dengan kontroversi melanda yang membuktikan ahli-ahli pengajian ilmu Islam masih gagal dalam berikhtilaf pendapat.
“Setiap perbezaan yang kita temui sering ditegangkan dan dijadikan jarak untuk bagi nampak yang kita ini suka berselisih dan tegang.
“Sebab itu orang yang memerangi Islam tidak hairan pun kepada kita,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
















