KOTA BHARU – Seramai 120 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin di seluruh Kelantan akan menerima Bantuan Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan melalui peruntukan pembasmian kemiskinan berjumlah RM9.6 juta tahun ini.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Azman Ibrahim berkata, selain itu, seramai 240 KIR miskin tegar dan miskin diberi bantuan baik pulih rumah yang berjumlah RM5.8 juta.
Menurutnya, buat masa ini, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan telah meluluskan sebanyak 175 projek baik pulih rumah dan 76 bina baru rumah melibatkan golongan miskin tegar dan miskin peserta eKasih di negeri ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 144 buah rumah telah siap dibina dan dibaik pulih.
“Program bina baharu dan baik pulih rumah juga merupakan satu strategi untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup selaras dengan agenda Malaysia Madani,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan ICU JPM di Kampung Tikat, di sini hari ini.
Sementara itu, penerima kunci rumah, Wan Norizan Mohd. Nawawi,44, berkata, dia amat terharu dan tidak menyangka kerana akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.
Katanya, sebelum ini, dia bersama suami dan empat orang anaknya hanya menumpang di rumah neneknya yang sangat uzur dengan keadaan dinding yang reput. – KOSMO! ONLINE