fbpx
Bawal (kiri) merupakan ikan yang paling digemari oleh Mohd. Fazmy (kiri) dalam memancing.

K2

Cabaran buru bawal di kolam air masin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA usia muda, Mohd. Fazmy Denan sering turun ke laut bersama bapa dan bapa saudaranya untuk memancing yang menjadi hobi mereka sejak turun-temurun.

Namun, setelah berkeluarga dan anaknya memerlukan perhatian kerana masalah kesihatan, Mohd. Fazmy, 46, memilih untuk menumpukan perhatian kepada cahaya matanya itu dan tidak lagi turun ke laut.

Menurutnya, meskipun tidak lagi turun ke laut sehingga kini, dia masih melakukan hobi memancing di kolam-kolam ikan berdekatan rumah bagi melampiaskan keinginannya untuk menangkap ikan.

“Sejak di bangku sekolah, saya sudah sering mengikuti ayah memancing, malah turun ke laut juga sudah menjadi kebiasaan memandangkan bapa saudara merupakan seorang nelayan.

“Oleh kerana itu, laut merupakan lokasi memancing kegemaran saya tetapi sejak sudah berkahwin dan berdepan dugaan kesihatan anak, saya terpaksa memutuskan untuk tidak ke laut kerana takut jika ada kecemasan, saya tidak boleh berada di sisi keluarga,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, hal itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus memancing, meskipun hanya di kolam. Baginya, dia masih mendapatkan kepuasan seperti memancing di laut dan menangkap ikan air masin.

Kongsi bapa kepada lima cahaya mata itu, dalam memancing, dia lebih memilih untuk mengunjungi kolam ikan air masin berbanding air tawar kerana dia sekeluarga lebih sukakan ikan laut.

Kongsi lelaki dari Selayang, Selangor itu, dia sering memancing di kolam air masin di sekitar Shah Alam dan Klang.

Turut dikenali dengan gelaran ‘Mibawal’, Mohd. Fazmy memberitahu, dalam memancing ikan dia lebih gemar buru ikan bawal berbanding yang lain.

BIARPUN tidak lagi ke laut, Mohd. Fazmy kini masih boleh memancing ikan di kolam air masin di sekitar Shah Alam dan Klang, Selangor.

Katanya lagi, bawal merupakan antara spesies yang memberikan cabaran berbeza terutama ketika ia sudah terkena umpan.

“Bawal sebenarnya ikan yang jarang diletak dalam kolam kerana tidak ramai pemancing suka memandangkan ia boleh mengganggu pancingan lain.

“Ikan ini agresif ketika terkena umpan kerana ia akan cuba melepaskan diri dengan berpusing sekitar kolam seperti puting beliung hingga boleh mengganggu pancingan orang lain,” ujarnya.

Jelasnya, itu yang menjadi cabaran dalam menangkap bawal, selain ia tidak mudah tertarik dengan umpan dan perlu kesabaran.

Ujarnya, menangkap bawal tidak memerlukan pelbagai teknik memancing, cukup sekadar melemparkan tali joran dan menanam umpan di satu tempat.

Bagi umpan pula, ia tidak memerlukan sebarang umpan buatan atau campuran dedak. Bawal hanya memerlukan umpan udang kopek yang dipotong empat dan diletakkan pada mata kail.

Untuk memancing bawal, penggunaan perambut juga penting terutama dengan tiga mata kail. Ini berikutan ikan bawal mempunyai mulut kecil dan dengan tiga mata kail yang dipasang bakal membantu untuk menarik perhatian ikan tersebut.

Mohd. Fazmy berkata, ikan bawal sebenarnya sukar ditemui di laut Selat Melaka, sebaliknya lebih banyak di Pantai Timur.

“Jadi, untuk memancing bawal memang hanya ada di kolam kerana di laut Selat Melaka sangat sukar untuk bertemu bawal.

“Kalau memancing bawal di kolam air masin, pemancing perlu tahu bila masa ia dilepaskan kerana jika mahu menangkap bawal sebaiknya ia dipancing pada hari sama ikan itu masuk kolam,” ujar Mohd. Fazmy lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN