fbpx

Ahli ‘Geng Ruben’ pecah kedai masuk jerat polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Habibi menunjukkan kenderaan curi yang digunakan suspek untuk memecah masuk premis perniagaan sekitar Kepong.

KUALA LUMPUR – Enam ahli ‘Geng Ruben’ yang terlibat aktif dalam kegiatan memecah masuk premis perniagaan di sekitar Kepong sejak dua bulan lalu akhirnya diberkas polis baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Habibi Majinji berkata, nama geng itu diambil daripada nama dalang utama iaitu Ruben yang berusia 29 tahun.

Modus operandi suspek adalah memecah masuk premis dengan menaiki kenderaan dicuri iaitu Van Nissan Vanette dan Perodua Kancil pada awal pagi.

“Mereka menggunakan beberapa peralatan untuk pecah masuk dan merosakkan televisyen litar tertutup (CCTV) bagi menghilangkan jejak,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek memecah masuk enam buah restoran dan kedai alat ganti kereta serta bengkel dan melarikan barangan berharga.

Sebahagian barangan yang dicuri akan dijual di tempat pelupusan.

Tambah Habibi, polis merampas barangan curi seperti alat ganti kereta, wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan tin susu bernilai RM100,000.

“Kita percaya sebanyak sembilan kes iaitu melibatkan tujuh kes pecah premis dan dua kes curi kenderaan dapat diselesaikan. Mereka yang berusia 28 hingga 38 tahun mempunyai rekod jenayah dan positif dadah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Habibi mengutarakan kebimbangannya terhadap peningkatan lima kali ganda kes jenayah pecah masuk di Kepong pada tahun ini berbanding tiga kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Setakat semalam, di bawah IPD Sentul kita terima 15 laporan kes ini berbanding tiga kes dalam tempoh sama tahun 2023,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI