SELESAI memarkir kenderaannya di sebuah rumah teres yang terletak di Seksyen 3, Bangi, Selangor itu, Shahera Zahari dan tunangnya dijemput masuk oleh pemilik rumah dan sedia untuk menjamu selera.
Uniknya, kehadiran pasangan itu ke rumah diberi nama Rumah Nombor Enam itu adalah untuk merasai pengalaman makan ala fine dining yang biasanya dibuat di hotel atau restoran mewah, namun dalam suasana sebuah rumah.
Shahera dan tunangnya amat berpuas hati dengan pengalaman yang telah dilalui mereka.
“Saya dan tunang berpeluang mencuba menu berkonsepkan fine dining, namun disajikan dalam suasana penuh selesa, di sebuah rumah.
“Selain konsep yang menarik, semua makanan yang disajikan buat kami enak belaka,” katanya.
Shahera menjadi antara tetamu terawal yang berpeluang mencuba perkhidmatan iaitu ala fine dining yang disajikan di dalam sebuah rumah milik sepasang suami isteri.
Mereka disajikan dengan hidangan lengkap pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Napkin turut disediakan ala hotel.
Bagi pelanggan yang cuma mahu dikenali sebagai Johan, 30, yang berpeluang makan malam di situ bersama teman wanitanya baru-baru ini seronok mencuba sesuatu yang baharu.
“Apabila dengar ada yang tawarkan pengalaman makan malam di rumah mereka dengan sajian lengkap bertaraf lima bintang, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mencubanya.
“Selain dapat makan malam yang enak, pemilik rumah juga cukup ramah dan tidak membuatkan kami berasa canggung apabila berada di rumah mereka,” kongsi Johan.
Penulis melihat konsep sebegini suatu yang amat cocok untuk golongan pasangan menjamu selera. Mereka tidak perlu memikirkan mengenai kod pakaian seperti di restoran atau hotel.
Tambah lagi sesuai untuk golongan pasangan introvert yang mahu mencuba sajian seperti hotel tetapi tidak selesa ke tempat tumpuan awam.

Berkongsi kepada K2, pasangan suami isteri yang merupakan pemilik rumah tersebut, Siti Nur Nashrah Md. Ghazali, 26, dan Mohamad Nazreen Ramlie, 31, memberitahu idea unik untuk menyediakan perkhidmatan umpama restoran atau hotel di rumah itu timbul selepas mereka sering menjadi ‘host’ kepada acara makan-makan keluarga.
Rumah tersebut bukanlah rumah yang disewa semata-mata untuk perkhidmatan itu, tetapi rumah yang memang dihuni mereka sendiri.
“Idea jadikan ruang kediaman yang dihuni sendiri sebagai tempat kami menerima tetamu dan menyajikan sajian ala fine dining ini sebenarnya timbul setelah rumah kami kerap dijadikan lokasi ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul untuk acara makan-makan seperti sambutan ulang tahun kelahiran dan sebagainya.
“Memandangkan suami saya, Nazreen merupakan cef di sebuah hotel lima bintang di ibu kota, dia sememangnya sering menjadi individu yang akan menyediakan juadah tatkala kami berkumpul.
“Dari situ, saya mula berfikir mungkin kami boleh menyediakan sesuatu yang menarik seperti ini supaya orang luar juga boleh datang dan mencuba sajian istimewa yang dihidangkan suami saya,” ujar Nashrah yang merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Islam Antarabangsa Kampus Pagoh, Johor.
Anak kelahiran Bangi itu yang lebih mesra disapa Nashrah memberitahu idea tersebut timbul sejak hujung tahun lalu, namun hanya berjaya dilaksanakan baru-baru ini selepas yakin rumahnya ‘siap’ untuk dibuka kepada pengunjung.
Nashrah dan suaminya mahu memastikan setiap aspek seperti pilihan menu dan juga dekorasi seperti penyediaan meja makan dan pencahayaan pada kediamannya itu sesuai buat pengunjung yang mahu merasai suasana makan ‘fine dining’.
Dalam perkhidmatan itu, suaminya memasak, manakala Nashrah akan melayan tetamu dengan menghidangkan masakan dan keperluan makan tetamu.
Dalam kebanyakan masa, mereka berdua cuma duduk di dapur dan datang bila perlu untuk mengambil atau mengganti sajian.
Durasi berada di rumah sekitar 60 ke 90 minit.
Memandangkan ruang begitu terhad, tempahan slot perlu dilakukan.
Nashrah bagaimanapun lebih menyifatkan servis ditawarkan itu sebagai pengalaman home dining dan bukanlah fine dining secara total. Ini kerana pengalaman fine dining sebenar lebih menyeluruh dan melibatkan lebih banyak perkara lain seperti perkakas lebih banyak dan sebagainya.
“Sejujurnya, kami agak keberatan mahu menggelar servis ini sebagai fine dining, memandangkan jika bercakap tentang fine dining, ia lebih kompleks.
“Apa yang kami tawarkan ini sifatnya lebih home dining, namun mengambil inspirasi fine dining,” jelas Nashrah.

Biarpun masih terlalu baharu, Nashrah berkata, sambutan diterima agak memberangsangkan, khususnya dalam kalangan peminat sajian fine dining dengan harga yang berpatutan.
Buat masa ini, terdapat dua set makanan five course yang disediakan kepada pengunjung dan mereka boleh memilih sajian.
Menurut Nazreen yang sudah 12 tahun bergelar cef, dia berhasrat akan mengubah menu-menu tersebut dari semasa ke semasa.
“Jika dilihat, di negara-negara luar, golongan kaya sering mempunyai cef persendirian atau private chef yang ditugaskan untuk menyediakan makanan.
“Boleh dikatakan, apa yang kami tawarkan ini menyamai konsep sedemikian yang mana anda duduk di dalam sebuah rumah yang penuh selesa dan menikmati juadah daripada pembuka selera, salad, soup, juadah utama sehingga pemanis mulut yang disediakan oleh seorang chef,” kata anak kelahiran Sri Aman, Sarawak itu.
Antara menu menarik adalah hidangan salad labu dihidang bersama jem cili resipi peribadi Mohamad Nazreen dan juga kuih gula melaka berperisa labu dan intinya pula diperbuat daripada coklat putih.
Tetamu yang hadir juga sering memuji dua juadah itu, kerana ia sukar untuk didapati di mana-mana restoran lima bintang di negara ini.
Harga bagi seorang adalah antara RM89 sehingga RM179, mengikut menu.
Berkongsi lanjut, memandangkan perkhidmatan rumah ke rumah begitu popular pada masa ini, Nashrah dan Nazreen bagaimanapun memberitahu tiada perancangan untuk menjadikan perkhidmatan mereka sebagai servis yang dilakukan ke rumah pelanggan.














