fbpx

Pakar mata buat laporan, sindiket guna AI iklankan produk mata palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan produk mata yang dirampas dalam serbuan dijalankan pihaknya.

KUALA LUMPUR – Kandungan iklan manipulasi kecerdasan buatan (AI) berkait seorang pakar mata dikesan telah memperdaya ramai pembeli melalui medium sosial media.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu berjaya ‘dihidu’ polis setelah pakar mata terbabit dihubungi oleh individu lain bagi mendapatkan pengesahan serta kesahihan produk yang diiklankan di media sosial.

“Pengadu mengesahkan bahawa produk kesihatan tersebut tiada kaitan dengan syarikatnya.

“Penggunaan tanpa kebenaran gambar dan video pengadu sebagai bahan promosi produk tersebut bagi memperdaya orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Susulan laporan berkenaan, sebanyak empat serbuan dilakukan di sekitar Shah Alam, Selangor pada 21 dan 22 Mei bagi menangkap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan produk kesihatan palsu menggunakan gambar serta video milik seorang individu terkenal tanpa kebenaran.

“Tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 30 dan 38 tahun telah ditahan. Dua daripada yang ditahan adalah pengarah syarikat, manakala baki dua yang lain adalah pegawai pemasaran dan ahli perniagaan yang disyaki terlibat dengan penjualan produk kesihatan palsu.

“Kita merampas 18 kotak produk mata pelbagai jenama, satu kotak kosong produk mata, empat bungkusan produk rawatan pelbagai jenama, satu monitor, satu komputer riba dan satu telefon bimbit,” jelasnya.

Pada Jumaat lalu, tiga lagi individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Vietnam ditahan dalam serbuan susulan yang dijalankan sekitar Klang, Selangor.

Jelasnya, suspek yang berusia 33 hingga 51 tahun ditahan bersama rampasan enam kotak produk rawatan mata, satu kotak cermin mata, satu unit pencetak, satu pencetak label, dua gulung kertas pencetak san tiga telefon.

“Empat individu yang ditahan dalam serbuan pertama telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala dua individu warga asing yang ditahan dalam serbuan susulan dibenarkan reman selama dua hari.

“Seorang lagi individu warga tempatan (dari serbuan susulan) direman tiga hari sehingga hari ini.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI