fbpx

Farm Fresh bekal 63 juta kotak susu untuk Program Susu Sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Shafrudin Ali Husin; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi & Hal Ehwal Agama Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman ketika gimik pelancaran Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia di Melaka, baru-baru ini.

MELAKA – Farm Fresh Berhad, selaku pengedar susu sekolah di bawah tender Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan lapan negeri di Semenanjung menganjurkan Majlis Sambutan Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan bersempena Program Susu Sekolah Sesi 2023/24 di Hotel Mudzaffar, di sini baru-baru ini.

Karnival yang disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal dan wakil-wakil dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain meraikan Hari Susu Sekolah Sedunia, ia turut menyaksikan penyampaian tujuh kategori anugerah yang ditaja oleh Farm Fresh sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam meraikan sekolah dan anak-anak murid seluruh negara.

Farm Fresh selaku pembekal terbesar Program Susu Sekolah (PSS) perlu membekalkan susu kepada hampir 355,000 murid-murid dan 3,037 buah sekolah sepanjang program berkenaan, melibatkan perbekalan keseluruhan 63 juta kotak susu (sehingga Mei 2024).

Fadhlina berkata, antara objektif KPM dalam melaksanakan PSS adalah untuk memupuk amalan pengambilan susu atau produk tenusu dalam pemakanan murid-murid, terutamanya mereka dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Ini seterusnya diharapkan akan menjadi amalan murid sehingga mereka dewasa agar kita dapat membentuk generasi yang sihat dan cergas.

“Selain memupuk amalan minum susu, program ini juga merupakan usaha pihak KPM bersama-sama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan murid-murid di sekolah rendah mendapat nutrisi yang seimbang dan lengkap bagi setiap hari persekolahan.

“Atas dasar ini dan sokongan pihak KKM, program ini telah diperkasakan dan diteruskan pada 2024,” katanya dalam kenyataan.

Barisan tetamu bergambar bersama selepas Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia anjuran Farm Fresh Berhad tamat dengan jayanya. Farm Fresh menjadi salah satu pengeluar tenusu yang menyokong Program Susu Sekolah tahun ini.

KPM telah meneruskan PSS di dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Mei 2023 sehingga Jun 2024 secara tender terbuka kepada pengilang-pengilang susu tempatan untuk membekalkan susu terus kepada sekolah dan murid-murid sekolah rendah penerima bantuan di seluruh negara.

Penerima bantuan ini terdiri daripada murid-murid dari keluarga miskin tegar, Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan murid di sekolah Asli/Penan.

PSS telah dilaksanakan mulai tahun 1983 dan berterusan sehingga sekarang bagi menerapkan amalan minum susu disamping meningkatkan tahap pemakanan dan kesihatan di kalangan murid sekolah rendah.

Selain itu, penyediaan susu dalam hidangan akan memastikan murid menerima nutrisi lengkap dan pemakanan yang seimbang bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak serta memupuk tabiat yang baik supaya kekal sihat dan segar.

Menurut Azmi, pihaknya sangat berbangga dapat sekali lagi menjadi salah satu pengeluar tenusu yang menyokong Program Susu Sekolah tahun ni.

“Program ini menyasarkan kebaikan nutrisi kepada murid-murid di bawah RMT bagi memerangi masalah malnutrisi dan bantut untuk menyokong tumbesaran kanak-kanak yang lebih baik.

“Dalam pada kita menjaga nutrisi untuk anak-anak, pada masa yang sama, rezeki ini turut dikongsi untuk membantu usahawan tempatan di bawah program Home Dealers kami, yang mana mereka menghantar susu ke sekolah dengan penuh dedikasi sehingga ke seluruh Malaysia,” ujarnya.

Tahun 2024 merupakan tahun bersejarah bagi Farm Fresh kerana telah menganjurkan pelbagai CSR di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara dengan nilai lebih RM2.3 juta.

Karnival Hari Susu Sekolah Peringkat Kebangsaan di Melaka turut dimeriahkan dengan pertandingan akhir untuk Senamrobik, Choral Speaking, Pertandingan Kereta Kitar Semula Grandprix Farm Fresh, Pertandingan Melukis dan Mewarna serta penyampaian hadiah untuk tujuh anugerah dengan jumlah hadiah bernilai RM27,770.

Farm Fresh turut membina 10 buah Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi yang membolehkan murid-murid mengikuti program tuisyen dan pelbagai aktiviti kemahiran hidup yang lain selama tiga hari seminggu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI