ROHU atau nama saintifiknya, Labeo rohita merupakan spesies ikan air tawar yang bersifat omnivor dengan diet berbeza berdasarkan tahap pembesarannya.
Turut dikenali dengan panggilan rui atau roho labeo, rohu merupakan ikan pendatang yang berasal dari India, selain turut mendiami kawasan sungai di Asia khususnya di Pakistan, Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
Tergolong dalam keluarga kap, rohu dikesan mula membiak di negara ini selepas dibawa masuk bagi tujuan akuakultur dan pemakanan.
Di Malaysia, spesies pendatang itu sudah lama berkembang biak di kolam bekas-bekas lombong terutamanya di Perak.
Ekoran sifat agresif ketika membaham umpan, selain bentuk fizikalnya yang mampu membesar sehingga 15 kilogram (kg) di habitat liar, rohu sering menjadi buruan kaki pancing.
Atas dasar itulah, seorang kaki pancing, Mohamad Saifudin Gahnehman, 39, kerap memburu ikan berkenaan setiap kali keluar memancing sama ada di kolam berbayar, mahupun di sungai atau tasik.
Lelaki yang menetap di Kajang, Selangor itu berkata, baru-baru ini, dia berkesempatan berkunjung ke ‘port’ kegemarannya di Sungai Langat.
Katanya, dia berjaya mendaratkan beberapa ekor ikan rohu liar bersaiz besar atau dikenali sebagai rohu torpedo.
Jelasnya, ikan rohu agak sukar didapati di kawasan sungai memandangkan spesies itu banyak mendiami tasik dan lombong.
“Untuk memburu rohu sungai, pemancing perlu mahir mencari kawasan yang mungkin menjadi lubuk ikan ini, selain waktu sesuai untuk memburunya.
“Pemilihan umpan juga perlu dibuat dengan betul kerana rohu merupakan spesies yang agak memilih sebelum membaham umpan.
“Walaupun begitu, memancing rohu agak menyeronokkan kerana ia biasanya akan meluru dengan laju selepas membaham umpan, selain ‘terbang’ di permukaan air bagi melepaskan diri.
“Sifat itulah yang menjadi idaman para pemancing untuk merasai keseronokan menaikkan rohu,” katanya.
Mengulas mengenai pengalamannya mendaratkan rohu torpedo, lelaki yang sering disapa Saifudin itu memaklumkan, dia mengambil peluang ketika musim kemarau yang melanda negara baru-baru ini untuk memburu spesies berkenaan.

Menurutnya, ikan rohu liar yang membesar di sungai lebih mudah untuk diburu ketika air surut dan berarus perlahan.
“Memburu rohu liar di sungai agak sukar kerana bukan mudah untuk mengesan lokasi yang mungkin menjadi lubuk spesies ini.
“Oleh itu, pemancing perlu mencuba di beberapa lokasi yang berkemungkinan menjadi habitat ikan berkenaan.
“Jika sudah berjaya mendaratkan seekor, biasanya akan ada beberapa ekor lagi rohu di lokasi tersebut.
“Pada trip memancing bersama seorang rakan baru-baru ini, saya berjaya menaikkan beberapa rohu torpedo yang bersaiz sekitar 3kg seekor di lokasi sama,” katanya.
Menurut Saifudin, dia biasanya memburu ikan rohu menggunakan umpan yang diperbuat daripada campuran dedak dengan perisa beraroma.
Jelasnya, dedak beraroma mampu menjadi daya penarik agar ikan dapat mengesan keberadaan umpan setiap kali mata kain dilempar ke dasar sungai atau tasik.
“Selain dedak, saya juga akan menggunakan gumpalan roti yang dicampur dengan perisa bagi mengeluarkan aroma sebagai daya penarik ikan.
“Biasanya, saya akan menggunakan teknik pancingan dasar dengan dedak akan digumpal pada mata kail atau mata bom.
“Sekiranya air sungai pada hari berkenaan agak keruh, saya akan menggunakan lebih banyak campuran perisa beraroma bagi membolehkan ikan mengesan kedudukan umpan dengan cepat dan mudah,” ujarnya.
Kata Saifudin lagi, harga ikan rohu di pasaran agak tinggi iaitu antara RM10 hingga RM20 bagi setiap kilogram.
Katanya, bagi hasil tangkapan rohu torpedo yang diperolehinya baru-baru ini, semuanya dibawa pulang untuk dijadikan hidangan keluarga.














