KUALA TERENGGANU – Selepas beberapa bulan membantah, akhirnya kesemua 580 peniaga Pasar Besar Kedai Payang di sini, akur dengan pelan penyusunan semula pusat sehenti produk makanan dan kraftangan Terengganu yang ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, semua peniaga sepakat bersetuju dengan cadangan mereka dipisahkan kepada dua premis berasingan mulai 1 Julai ini.
“Peniaga barangan kemas, batik, kraftangan, barangan dapur akan berpindah ke Kompleks Payang 1 yang baru siap dan diserahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hujung Februari lalu.
“Kompleks sedia ada yang akan dikenali sebagai Payang 2 pula kekal bagi peniaga keropok, kuih-muih, buah, kedai makan dan pasar basah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zakaria berharap pelan penyusunan semula itu melonjakkan imej Pasar Besar Kedai Payang agar sebaris Pasar Seni Kuala Lumpur seperti diharapkan KPKT.
“Peniaga terlibat dalam pemindahan ke Kompleks Payang 1 akan menerima kunci kedai baharu pada 1 Jun ini.
“Kami diberi masa sebulan untuk memunggah barangan jualan dan melakukan pengubahsuaian sebelum memulakan operasi pada 1 Julai ini,” katanya.
Kosmo! pada 2 Mac lalu melaporkan, sebahagian peniaga Pasar Besar Kedai Payang yang sudah berniaga selama 60 tahun membantah pelan penyusunan diatur MBKT.
Mereka bimbang pemisahan peniaga Pasar Besar Kedai Payang kepada dua premis akan mengulangi kesilapan sama membuka Bazar Warisan yang terletak berhampiran 14 tahun lalu yang kini ‘gulung tikar’ ekoran kekurangan pelanggan.
















