fbpx

Kapal kontena terbesar dunia berlabuh di Northport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Northport telah mengendalikan kapal yang semakin besar kapasitinya sejak lima dekad yang lalu,

PETALING JAYA – Northport (Malaysia) Bhd (Northport)  meraikan kejayaan bersejarahnya dengan mengalu-alukan kapal MV OOCL Japan, sebuah kapal kontena terbesar  berlabuh di fasilitinya pertengahan bulan Mei ini.

Kapal yang dimiliki Orient Overseas Container Line (OOCL) Limited, MV OOCL Japan yang mempunyai kapasiti sebanyak 21,413 unit bersamaan 20 kaki (TEU) itu telah mencipta rekod baharu buat Northport.

Kapal tersebut telah dibina pada tahun 2017 dan dilengkapi teknologi terkini dan kejuruteraan moden.

Armada yang memiliki saiz panjang 400 meter dan lebar 59 meter itu merupakan salah sebuah kapal kontena terbesar di dunia serta memiliki kecekapan bahan api yang dipertingkatkan,reka bentuk mesra alam dengan pengurangan pelepasan karbon yang signifikan.

Sebelum ini, pelabuhan tersebut telah merekodkan persinggahan kapal terbesar di pada tahun 2013 iaitu kapal Eugen Maersk, yang mempunyai kapasiti sebanyak 11,000 TEU.

Mengulas mengenai rekod tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, peristiwa monumental ini adalah bukti keupayaan Northport mengendalikan kapal-kapal kontena bersaiz ultra besar, serta mencerminkan komitmennya terhadap pertumbuhan dan kecemerlangan dalam sektor logistik maritim.

“Kami amat berbangga menerima singgahan kapal MV OOCL Japan di Northport.

“Pencapaian bersejarah ini adalah hasil daripada usaha berterusan kami dalam usaha meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan sebagai sebahagian daripada inisiatif Reinventing Northport, bagi memastikan pelabuhan berusia 61 tahun ini kekal relevan dan berdaya saing. 

“Keupayaan untuk menjadi persinggahan kapal sebesar ini adalah bukti keupayaan dan kesediaan Northport untuk mengendalikan permintaan perdagangan maritim antarabangsa yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

 Menurut Azman, ketibaan kapal MV OOCL Japan amat signifikan kerana ia merupakan peningkatan besar daripada kapal kontena pertama yang berlabuh di Northport, Pelabuhan Klang, iaitu kapal MV Tokyo Bay. 

Dengan kapasiti 3,000 TEU, kapal MV Tokyo Bay merupakan kapal kontena penuh generasi ketiga pertama di dunia yang singgah di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos 1973, menandakan permulaan operasi kontena di Malaysia. 

Sementara itu, Azman menerangkan, segala projek penambahbaikan dan pembangunan pelabuhan ini telah meningkatkan kecekapan operasi Northport dengan ketara. 

Hasilnya, lebih 80 peratus kapal yang singgah di Northport kini boleh terus berlabuh sejurus tiba (berth on arrival). Ini telah membawa kepada tahap produktiviti yang tinggi melebihi 28 mph secara konsisten dan pengendalian kontena yang lebih cekap. 

Dalam tempoh empat bulan pertama 2024, Northport telah mengendalikan sejumlah 1,055,555 TEU kontena, iaitu pertumbuhan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Isu geopolitik di rantau Laut Merah telah menyebabkan gangguan kepada perdagangandunia kerana syarikat perkapalan menghadapi masalah kelewatan akibat perubahan laluan perkhidmatan perkapalan. 

“Ini telah menyebabkan kesesakan di pelabuhan-pelabuhan utama lain di rantau ini. Kami telah menerima lebih daripada 50 singgahan kapal secara ad-hoc pada tahun ini disebabkan oleh produktiviti yang lebih baik dan tawaran nilai berth on arrival,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI