fbpx
Tangkap layar tempahan yang dibuat melalui Telegram.

‘Jangan halang, tapi bantu dapatkan lesen PSV’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perkhidmatan kereta sapu yang mendapat permintaan tinggi dalam kala­ngan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tidak wajar dihalang demi kebajikan semua pihak.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Syahril Ahmad Sofian berkata, tidak dinafikan perkhidmatan kereta sapu menjadi sumber pengangkutan utama pelajar di dalam kampus sekali gus menambah duit poket golongan tersebut.

Katanya, walaupun MPP sedia maklum perkhidmatan itu salah di sisi undang-undang, namun pihaknya tidak mempunyai pilihan selain berusaha untuk memudahkan perjalanan pelajar disebabkan akses pengangkutan yang terhad.

“Di UUM misalnya, majoriti pelajar guna kereta sapu untuk bergerak kerana perkhidmatan e-hailing tertumpu di kawasan luar (kampus). IPT ini juga terletak jauh, jadi sukar untuk mendapatkan teksi dan bas.

“Bagi saya, undang-undang itu perlu ada sifat kemanusiaan bergantung kepada keadaan. Daripada menghalang kereta sapu, lebih baik beri bantuan kepada pemandu misalnya untuk membiayai lesen PSV.

“Usaha lain juga perlu dilakukan. Di peringkat MPP, kami sedang berusaha mewujudkan perumah untuk menyatukan pemandu kereta sapu supaya perkhidmatan ini dibenarkan di dalam kampus,” katanya.

Tambah Syahril, bagi inisiatif jangka pendek, pihaknya memberikan peringatan kepada para pelajar UUM untuk sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan prebet sapu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk kemalangan.

Sementara itu, Pre­siden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ali Karimi Mohd. Nasri memberi­tahu, majoriti pelajar IPT tidak mengetahui perkhidmatan itu salah di sisi undang-undang.

Katanya, perkhidmatan tersebut wujud sebelum pandemik Covid-19 dan tidak mampu dikawal sepenuhnya kerana terdapat tawaran dan permintaan yang sangat tinggi sehingga ahli kumpulan Telegram mencecah lebih 12,000 orang.

“Bukannya pihak kami tidak pernah cuba untuk menutup kumpulan ini, tetapi sebabkan supply and demand terlalu tinggi, ada sahaja kumpulan baharu yang wujud. Pemandunya pula adalah pelajar, alumni dan orang luar. Tidak ada pihak yang kawal sistem itu,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN